Pelajar, komuniti teruja sertai sukan rakyat

30 Aug 2024 • 4:20 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Sukan Rakyat sempena Hari Kemerdekaan berjaya menarik perhatian pelajar dan komuniti setempat untuk menyertainya.

Lebih 200 penduduk Kampung Kubang Pak Hitam, Pasir Mas, Kelantan termasuk 100 daripadanya pelajar sekolah dan penuntut Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu menjayakan sukan rakyat sempena Hari Kemerdekaan di sini, baru-baru ini.

Selain golongan muda, program anjuran Persatuan Komuniti Al-Husna yang bertemakan era 1990-an itu, turut disertai warga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dari Jajahan Pasir Mas.

Seorang pelajar Tingkatan Dua, Nurul Hazirah Mohamad Shulaudin berkata, penglibatan dalam sukan rakyat terutamanya sukaneka dan larian telah memberikan satu pengalaman baharu buatnya.

image is not available
Permainan tradisi tarik upih pinang mendapat sambutan hangat dalam kalngan peserta.

“Saya tidak pernah terlibat dengan acara padang begini di luar persekitaran sekolah.

“Sangat teruja dengan aktiviti sukan berkenaan apatah lagi saya berpeluang mengenali pelbagai jenis permainan lama yang disediakan penganjur,” katanya.

Murid Tahun Tiga, Nur Dhia Raihanah Nasyriq, melahirkan rasa gembira kerana dapat berkenalan dengan rakan-rakan baharu.

image is not available

“Menyertai acara ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga meninggalkan kenangan indah yang akan diingati oleh semua peserta,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Program, Muhammad Nasyriq Nawawi berkata, tujuan sukan rakyat adalah untuk mengembalikan semula nostalgia penduduk kampung yang lebih senior di samping memberi pendedahan kepada generasi muda yang rata-ratanya masih bersekolah dan menyambung pengajian di kolej.

"Terdapat pelbagai permainan lama yang semakin dilupakan golongan muda seperti larian tarik upih pinang, kopek buah kelapa, kopak sireh dan bowling buah kelapa.

image is not available


image is not available
Ketua Kampung Kubang Pak Hitam, Mohammad Kamaruddin Che Ngah (kanan) menyampaikan cenderahati sumbangan Ctah kepada Rosli (tengah). Turut serta, Muhammad Nasyriq (kiri).

"Ini kerana, mereka (anak-anak muda) lebih selesa meluangkan masa dengan telefon pintar dan gajet-gajet lain.

"Atas faktor itu, kami sepakat menganjurkan sukaneka, larian rakyat dan memperkenalkan permainan lama kepada mereka dan alhamdulillah, ia mendapat sambutan serta sokongan sangat baik daripada semua pihak,” katanya.

Terdahulu, program yang dirasmikan Ketua Cawangan Mobile Patrol Vehicle (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pasir Mas, Asisten Superintendan Rosli Che Othman telah mendapat tajaan penuh daripada Ctah iaitu produk air minuman tenaga.

image is not available


image is not available


image is not available