
Pelajar KV Keningau Cipta Serunding Sisa Ikan, Menang Pertandingan ASEAN
Pelajar Sabah Menang Pertandingan Remagine Waste Peringkat ASEAN. Danial Jauhari Sidar, pelajar tahun akhir Seni Kulinari Kolej Vokasional (KV) Keningau, telah dipilih menjadi salah seorang daripada dua pemenang pertandingan Reimagine Waste anjuran Catalyst of Change ASEAN yang diumumkan keputusannya pada 5 Mac 2025.
Terdapat dua pemenang iaitu Maria Iorizel O. Tengco daripada negara Filipina dan Malaysia yang diwakili oleh Danial Jauhari. Kedua-dua pemenang mendapat markah yang sama iaitu 88.5% dan pemenang akan memperoleh hadiah bernilai USD 50 yang bersamaan dengan RM 200 lebih.

Serunding Sisa Ikan, Idea Kreatif Danial Jauhari
Danial Jauhari Sidar telah memenangi pertandingan tersebut dengan video produk inovasinya yang merupakan projek tahun akhir dia iaitu serunding yang diperbuat daripada sisa-sisa ikan yang terbuang. Memandangkan sisa ikan selalu menjadi bahan buangan penyediaan makanan yang berbau hanyir dan sering membuatkan sinki dan longkang tersumbat, dia berhasrat untuk membantu menyelesaikan masalah ini dengan menggunakan sisa ikan sebagai bahan utama resipi serundingnya.
Dia menyedari kewujudan masalah ini berdasarkan pemerhatiannya sendiri di bengkel seni kulinari serta menemubual pekerja dewan makan. Dia menggunakan kemahiran dan pengetahuannya dalam penyediaan makanan termasuk bahan makanan tempatan terkenal iaitu tuhau untuk mencipta serunding yang rangup dan lazat untuk dinikmati oleh semua golongan umur termasuk kanak-kanak.
Inspirasi Keusahawanan Sosial
Pertandingan Reimagine Waste adalah pertandingan yang berfokuskan kepada penggunaan semula bahan buangan. Danial Jauhari yang pernah beberapa kali menyertai pertandingan keusahawanan sebelum ini bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan sosial dengan mencipta resipi makanan daripada sisa proses penyediaan makanan. Dia berharap usahanya ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan mengurangkan pembaziran makanan.
Penghargaan Daripada KV Keningau
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, mengucapkan tahniah kepada pelajar ini yang telah berjaya memberi contoh yang baik kepada pelajar-pelajar yang lain agar gigih berusaha untuk mencipta inovasi yang bukan sahaja membuka peluang yang baru tetapi menyelesaikan masalah tertentu.
Baca juga artikel yang berkaitan:

