Pelajar lambat buat aduan: Bekas pengetua

12 Jan 2023 • 5:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang bekas pengetua, yang antara disaman oleh tiga bekas pelajar sekolah menengah di Kota Belud kerana didakwa enggan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris kepada pelajar terlibat enam tahun lalu, berkata tindakan pelajar mengadu ketidakhadiran guru di dalam kelas adalah sia-sia.

Pesara guru Suid Hanapi, memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Leonard David Shim, tindakan pelajar mengadu mengenai perkara itu adalah sia-sia kerana mereka membuat aduan pada penghujung tahun.

“Jika mereka mengadu perkara ini pada awal tahun, maka saya boleh mengambil tindakan sewajarnya. Jika mereka benar-benar ikhlas dalam pembelajaran, sudah pasti perkara ini akan dimaklumkan dari awal lagi.

“Saya menerima aduan mereka (pelajar) pada penghujung 2017 iaitu pada November,” kata Suid yang merupakan saksi defendan kedua dalam pendengaran kes saman yang difailkan oleh tiga bekas pelajar SMK Taun Gusi, Kota Belud iaitu Rusiah Sabdarin selaku plaintif pertama, Nur Natasha Allisya Hamali (plaintif kedua) dan Calvina Angayung (plaintif ketiga). Norhana

Pelajar berkenaan menamakan guru Bahasa Inggeris Mohd Jainal Jamran, Suid (atas kapasitinya sebagai pengetua SMK Taun Gusi), Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Menteri Pelajaran Malaysia dan Kerajaan Malaysia, sebagai defendan pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima, masing-masing.

Mereka antara lain mendakwa Mohd Jainal gagal hadir ke kelas untuk mengajar subjek itu selama tujuh bulan pada 2017 manakala defendan lain tidak mengambil tindakan munasabah walaupun telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Dalam keterangan saksi Suid, dia berkata, bagi mengelak aduan berterusan terhadap Mohd Jainal, pada tahun berikutnya iaitu 2018, Suid telah mengarahkan seorang guru bernama Norhana, bagi menggantikan Mohd Jainal dengan guru lain untuk mengajar bahasa Inggeris di kelas 5 Sains Sukan (SS).

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Sherzali Herza Asli yang mewakili plaintif, Suid bersetuju bahawa sebagai pengetua sekolah itu, dia mesti mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran serius yang dilakukan oleh guru.

Dia turut bersetuju bahawa sebarang isu berkaitan ‘cikgu ponteng sekolah’ adalah satu kesalahan yang sangat serius.

Kepada satu soalan oleh Sherzali, Suid berkata dia tidak tahu bahawa Mohd Jainal mengaku di bawah pemeriksaan balas bahawa dia (Mohd Jainal) tidak hadir beberapa kali dalam kelas bahasa Inggeris yang dijadualkan untuk 4SS pada 2017.

Kepada soalan lain, Suid berkata tidak apabila ditanya sekiranya dia mengiktiraf ketidakhadiran guru itu kerana dia hanya menukar Mohd Jainal ke kelas lain pada 2018.

Sementara itu, saksi ketiga defendan, Ketua Jabatan Bahasa sekolah, Norhana Idek berkata beliau bertemu beberapa pelajar yang mengadu tentang ketidakhadiran Mohd Jainal dalam kelas 4SS, pada penghujung Oktober atau awal November 2017.

Katanya, pada pandangannya, jika pelajar berkenaan benar-benar serius dengan aduan itu, mereka perlu membuat aduan lebih awal supaya tindakan lanjut dapat dilakukan.

Semasa pemeriksaan balas, Norhana yang kini merupakan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah di Kota Belud berkata ya apabila ditanya sama ada beliau menyedari ketidakhadiran Mohd Jainal dalam kelas yang bukan sahaja pada 2017 malah beberapa tahun sebelum itu.

Beliau juga bersetuju bahawa sebarang ketidakhadiran guru adalah satu kesalahan serius.

Sementara itu, pada pemeriksaan balas untuk Mohd Jainal sebelum ini, dia berkata ‘betul’ apabila Sherzali mencadangkan dia didakwa tidak memasuki kelas 4SS untuk mengajar pelajar itu antara Mac hingga September 2017 berdasarkan dua bukti dokumen yang dikeluarkan.

Mohd Jainal memberi keterangan bahawa ia adalah betul berdasarkan dokumen yang disahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Sektor Integriti di mana rekod menunjukkan dia tidak memasuki kelas tersebut pada 30 Mac 2017.

Jelasnya, dia tidak masuk kelas pada 30 Mac 2017 kerana tidak hadir ke sekolah walaupun dalam buku rekod kehadiran guru atau buku kawalan kelas menunjukkan dia dijadualkan masuk ke kelas.

Mohd Jainal juga bersetuju bahawa dia tidak hadir sebanyak 11 kali bagi bulan Ogos dan September 2017 berdasarkan dokumen itu.

Dia juga kemudiannya bersetuju bahawa Jabatan Pendidikan Negeri juga secara rasmi mengesahkan dia tidak hadir sebanyak 11 kali bagi bulan Ogos dan September 2017 berhubung kelas bahasa Inggeris 4SS dan berkata terdapat satu kali dia tidak datang ke sekolah.

Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abd Halim bersama Peguam Persekutuan Fazrul Fardiansyah Abdul Kadir mewakili defendan.

Plaintif telah memanggil sepuluh saksi dan hanya tiga saksi memberi keterangan untuk defendan semasa perbicaraan.

Mahkamah memaklumkan kedua-dua pihak bahawa Nota Prosiding akan dibekalkan pada 13 Feb dan kedua-dua perlu memfailkan dan bertukar-tukar penghujahan bertulis secara serentak pada 13 Mac dan mereka perlu memfailkan dan bertukar-tukar hujahan balas bertulis, jika ada pada 27 Mac.

Mahkamah juga menetapkan 12 April untuk penjelasan hujahan melalui Zoom.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.