
Kota Kinabalu: Seorang guru bahasa Inggeris yang disaman oleh tiga bekas pelajar menengahnya di Kota Belud kerana didakwa enggan mengajar subjek bahasa Inggeris kepada mereka enam tahun lalu, tidak tahu adanya aduan mengenainya.
Mohd Jainal Jamran, 50, memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Leonard David Shim, dia tidak tahu ada aduan dibuat mengenainya dan pengetua sekolah atau guru lain tidak pernah memberitahunya mengenai aduan itu.
Menurut Mohd Jainal yang menjadi guru selama 26 tahun, dia tidak pernah melihat sebarang aduan bertulis terhadapnya.
Mohd Jainal merupakan saksi pertama defendan dalam perbicaraan kes saman yang difailkan oleh tiga bekas pelajar menengah SMK Taun Gusi, Kota Belud iaitu plaintif pertama Rusiah Sabdarin, plaintif kedua Nur Natasha Allisya Hamali dan plaintif ketiga Calvina Angayung.
Tiga pelajar itu telah menamakan Mohd Jainal, Hj Suid Hj Hanapi (atas kapasitinya sebagai pengetua SMK Taun Gusi), Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia, masing-masing sebagai defendan pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima.
Mereka antara lain mendakwa, Mohd Jainal gagal hadir ke kelas untuk mengajar subjek itu selama tujuh bulan pada 2017 manakala defendan lain tidak mengambil tindakan munasabah walaupun telah dimaklumkan mengenai perkara itu.
Dalam keterangan saksinya, Mohd Jainal berkata pada 2017, dia menghadiri dan mengajar di kelas Tingkatan Empat Sains Sukan mengikut jadual.
Dia memberitahu mahkamah bahawa kadangkala ada pelajar kelas Tingkatan Empat Sains Sukan datang lewat ke kelasnya dan ini mengganggu tumpuannya untuk mengajar kerana terpaksa mengulang pelajaran.
Mohd Jainal selanjutnya berkata, beberapa pelajar kelas Tingkatan Empat Sains Sukan tidak menumpukan perhatian semasa dia mengajar di dalam kelas tersebut dan ada juga pelajar yang tidak membuat sebarang persiapan semasa mengikuti kelas tersebut.
Menurut Mohd Jainal, walaupun terdapat murid yang tidak hadir ke sekolah dan ada antara mereka tidak memberi tumpuan semasa pelajaran, dia tetap meneruskan pengajarannya di kelas tersebut.
Mohd Jainal yang kini guru di SMK Taun Gusi II, Kota Belud memberitahu mahkamah bahawa dia tidak pernah berniat buruk atau mempunyai sebarang masalah dengan plaintif atau mana-mana pelajarnya.
Sementara itu, seorang bekas guru SMK Taun Gusi yang cuba mempertahankan pelajar-pelajarnya berhubung ketidakhadiran guru Bahasa Inggeris itu di kelas, berkata dia tidak membuat laporan polis selepas diugut bunuh kerana takut dan tidak mahu menjadikan perkara itu lebih besar.
Guru itu juga berkata saman sivil itu dibiayai oleh seorang individu bernama Ibrahim yang merupakan bekas Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris Fullbright di SMK Taun Gusi pada 2014 dan 2015.
Peguam Sherzali Herza Asli mewakili kesemua plaintif sementara Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abd Halim bersama Peguam Persekutuan Fazrul Fardiansyah Abdul Kadir mewakili defendan.
Perbicaraan diteruskan hari ini (Rabu).
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


