Pelajar mangsa pukul trauma, baru bebas kanser limfoma

16 Aug 2023 • 4:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Wee Tse melawat pelajar Tingkatan Tiga yang menjadi mangsa buli pada Rabu.

JOHOR BAHRU - Pelajar Tingkatan Tiga yang menjadi mangsa buli sekumpulan remaja di kawasan rekreasi Taman Bestara Indah, dilaporkan masih trauma dengan kejadian itu.

Ali Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse yang melawat mangsa dikenali sebagai adik Iqbal di kediaman keluarganya melihat sendiri trauma yang dialami remaja itu.

Beliau seterusnya menasihatkan pelajar berkenaan supaya menjalani ujian sinar-X di Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mengenal pasti sama ada dia mengalami kecederaan dalaman.

"Pagi tadi saya melawat adik Iqbal mangsa buli dipukul sekumpulan pelajar di kawasan Taman Permainan di Taman Bestari Indah yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

"Saya nyatakan rasa simpati atas ujian yang menimpa ke atas adik Iqbal dan turut menyerahkan sumbangan kepada ibu bapa adik Iqbal sebagai tanda prihatin," katanya dalam muat naik di Facebooknya pada Rabu.

Wee Tse berkata, tiada kompromi terhadap perbuatan buli dan gangsterisme, sekali gus tindakan tegas wajar diambil ke atas mereka yang terbabit.

Katanya, dalam masa terdekat, pihaknya bersama pihak sekolah akan menjalin kerjasama dengan polis bagi menganjurkan program kempen kesedaran dan sesi kaunseling sebagai salah satu usaha membendung gejala buli.

Sementara itu, seorang kenalan keluarga pelajar itu berkata, mangsa adalah bekas pesakit kanser limfoma yang baru saja disahkan bebas daripada penyakit itu.

"Sebagai ibu bapa, kami berharap kejadian seumpama ini dipandang serius dan diambil tindakan supaya ia menjadi pengajaran," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, pada 9 Ogos lalu, remaja lelaki berkenaan dipukul sekumpulan pelajar sekolah di taman tersebut sehingga mengakibatkan kecederaan.

Remaja lelaki berkenaan ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk beberapa kali di bahagian depan dan belakang badan selain di bahagian perut, paha serta lengan kiri dan kanan.

Kejadian itu yang tular dalam media sosial dilaporkan kepada pihak polis pada jam 4.09 petang Isnin daripada mangsa yang berusia 15 tahun.

Susulan itu polis menahan semua suspek selepas melakukan enam serbuan di sekitar daerah ini bermula dari jam 5.30 petang sehingga 9.34 malam Isnin.

Motif kejadian tersebut berpunca daripada seorang suspek yang tidak berpuas hati mangsa berkawan dengan teman wanitanya.