Pelajar Maut Di SBP: Mayat Ditemui Hampir 4 Jam Selepas Kematian, CPSM Gesa Lakukan Inkues

LocalPolitics
21 Nov 2026 • 3:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pelajar Maut Di SBP: Mayat Ditemui Hampir 4 Jam Selepas Kematian, CPSM Gesa Lakukan Inkues

KUALA KANGSAR - Kelemahan aspek pemantauan terhadap pelajar di sekolah berasrama kini menjadi persoalan, susulan kematian seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di sini baru-baru ini.

Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia (CPSM) berpandangan, satu prosiding inkues perlu diadakan bagi meneliti secara menyeluruh keadaan yang membawa kepada kematian pelajar berkenaan, khususnya berkaitan tanggungjawab pihak sekolah dalam memastikan keselamatan dan kebajikan murid di bawah jagaan mereka.

Presidennya, Datuk Seri Nazir Ariff berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa telah ditempatkan di bilik rawatan sekolah sejak Isnin sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada Rabu.

Lebih membimbangkan, terdapat jurang masa hampir empat jam antara waktu kejadian yang dinyatakan dalam laporan polis, iaitu 10.35 pagi, dengan waktu mangsa ditemukan oleh seorang pelajar lain pada 2.45 petang.

Keadaan itu, menurut Nazir, menimbulkan persoalan serius mengenai tahap pengawasan yang diberikan kepada mangsa sepanjang berada di bilik rawatan.

“Adakah pemeriksaan berkala dilakukan, atau keadaan kesihatan mangsa dipantau dengan sewajarnya dan pihak keluarga dimaklumkan mengenai perkembangan semasa pelajar terbabit?

“Pihak sekolah harus memberikan penjelasan terperinci mengenai bentuk penjagaan yang disediakan, termasuk kekerapan pemeriksaan oleh kakitangan serta penilaian kesihatan yang dilakukan sepanjang tempoh mangsa berada di bilik rawatan,” katanya. 

Nazir turut mencadangkan supaya siasatan bebas dijalankan dengan memberi tumpuan kepada sistem pemantauan pelajar, rekod bilik rawatan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta tindakan kakitangan yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan mangsa.

Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah juga digesa menjelaskan secara terperinci kronologi kejadian sepanjang 16 hingga 18 November, termasuk langkah yang telah diambil bagi memastikan prosedur keselamatan dan pengendalian kecemasan dipatuhi.

Menurut beliau, kejadian itu tidak seharusnya dilihat sebagai insiden terpencil, sebaliknya perlu menjadi peringatan kepada semua pihak untuk menilai semula tahap keselamatan di institusi pendidikan berasrama.

Antara aspek yang perlu diberi perhatian katanya, termasuk pengurusan bilik rawatan, pemantauan oleh warden, kemudahan mendapatkan khidmat kaunseling serta keberkesanan prosedur menangani situasi kecemasan.

Dalam pada itu, Nazir menegaskan bahawa ketiadaan petunjuk berlakunya unsur jenayah tidak bermakna segala persoalan berhubung kematian pelajar itu boleh diketepikan.

Katanya, kemungkinan wujudnya unsur kecuaian perlu turut diteliti bagi memastikan setiap aspek yang berkaitan dengan kejadian berkenaan mendapat penelitian sewajarnya.

“Inkues ini bukan bertujuan meletakkan kesalahan kepada pihak sekolah atau mana-mana individu, sebaliknya merupakan saluran kehakiman bebas untuk menentukan keadaan sebenar yang membawa kepada kematian seseorang.

“Orang ramai berhak mengetahui sama ada tragedi ini boleh dielakkan dan sama ada terdapat kelemahan dalam sistem yang sepatutnya berperanan melindungi keselamatan pelajar berkenaan,” katanya. - Getaran, 21 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved