SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak agar memberi ruang kepada keluarga pelajar yang maut dalam kejadian di sebuah sekolah di Negeri Sembilan serta mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak sahih mengenainya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggerakkan bantuan dan sokongan kaunseling yang diperlukan kepada keluarga serta warga sekolah yang terkesan susulan kejadian itu.
“Saya memohon semua pihak agar memberi ruang kepada keluarga dan mengelakkan penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya sementara pihak polis menjalankan siasatan,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Dalam masa yang sama, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa susulan pemergian anak mereka.
Anwar turut mendoakan agar keluarga berkenaan dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian tersebut.
“Saya dan Azizah berduka menerima berita pemergian seorang anak di sebuah sekolah di Negeri Sembilan hari ini. Takziah buat keluarga yang sedang diduga dengan ujian yang amat berat ini.
“Saya dan Azizah mendoakan semoga roh anak ini dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh.
“Al-Fatihah,” tulisnya.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut selepas disyaki terjatuh dari sebuah blok bangunan di sebuah sekolah menengah di Sendayan, Negeri Sembilan pada Jumaat.
Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10.48 pagi dan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk mendapatkan keterangan daripada saksi serta laporan bedah siasat.






