
MIRI – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Bekenu maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas berhampiran sekolahnya di Kilometer (KM) 55, Lebuh Raya Pan Borneo, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan pada pukul 1.10 tengah hari itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari sekolah.
“Nahas membabitkan kereta dipandu seorang wanita tempatan berusia 46 tahun yang dalam perjalanan dari arah Miri menghala ke Bakong.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai melanggar pejalan kaki yang juga pelajar sedang melintas jalan.
“Akibat perlanggaran itu, pelajar tersebut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Faizal Moktar di talian 012-818 6509 atau 085-430479 atau mana-mana balai polis berhampiran.
The post Pelajar maut dirempuh ketika melintas berhampiran sekolah appeared first on Kosmo Online.






