
REMBAU – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu yang melintas jalan di Jalan Chengkau–Pilin–Lubok Cina berhampiran Kampung Panchang di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa warga Indonesia itu yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss 110 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialaminya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal secara bersendirian dari arah Lubok Cina menghala ke Rembau.
“Ketika tiba di lokasi kejadian dalam keadaan cuaca hujan, motosikal ditunggang mangsa dipercayai melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan yang membawa kepada kematiannya di tempat kejadian,” katanya, di sini, hari ini.
Ooi Ming berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, sumber berkata, haiwan ternakan yang dilanggar sempat melarikan diri dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE
The post Penunggang motosikal maut langgar lembu appeared first on Kosmo Online.





