SHAH ALAM - Keluarga kepada pelajar Tingkatan Empat, Yap Shing Xuen yang maut dalam kejadian tragis di sebuah sekolah pada 14 Oktober tahu lalu, memfailkan saman sivil terhadap 18 pihak termasuk kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Memetik laporan Malaymail, ibu dan kakak mangsa mendakwa saman itu difailkan berikutan ibu bapa penyerang, pihak berkuasa sekolah dan agensi kerajaan melanggar kewajipan tugas yang menyumbang kepada kematian pelajar berusia 16 tahun berkenaan.
Dalam saman itu, ibu mangsa, Wong Lee Ping dan kakak mangsa selaku plaintif manakala 18 pihak pula dinamakan sebagai defendan.
Antara yang dinamakan termasuk remaja lelaki terbabit bersama ibu bapanya serta beberapa pihak berkuasa sekolah termasuk guru kelasnya, pengetua dan guru yang bertanggungjawab dalam kaunseling serta hal ehwal murid.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama, Pengarah Pendidikan Selangor, Ketua Pengarah Pendidikan, Menteri Pendidikan, Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru, Ketua Pengarah Kesihatan, Menteri Kesihatan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kerajaan Malaysia.
Sebagai pentadbir harta pusaka, Lee Ping turut menuntut ganti rugi khas berjumlah RM120,602 bagi kos pengebumian Shing Xuen daripada semua defendan secara bersama dan berasingan.
Dia turut menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir Mahkamah Tinggi, termasuk apa-apa relif lain yang difikirkan wajar dan sesuai oleh mahkamah.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat Malay Mail, Lee Ping berkata, pembunuhan itu boleh dielakkan sekiranya keluarga remaja terbabit dan agensi kerajaan yang dinamakan dalam saman mengambil langkah pencegahan.
"Defendan pertama (remaja lelaki itu) telah menunjukkan masalah kesihatan mental sekurang-kurangnya sejak 2020.
"Adalah munasabah untuk dijangka oleh defendan kedua dan ketiga (ibu bapa remaja berkenaan) bahawa anak mereka mempunyai masalah kesihatan mental dan boleh mendatangkan ancaman kepada dirinya sendiri serta orang lain.
"Perkara sama juga terpakai kepada defendan keempat dan kesembilan (pihak berkuasa sekolah) apabila remaja itu mendaftar di sekolah berkenaan pada atau sekitar 2024,” katanya.
Dalam tuntutannya, Lee Ping mendakwa kedua ibu bapa remaja terbabit gagal menjalankan tanggungjawab sewajarnya sehingga menyebabkan pembunuhan itu berlaku, selain melanggar tanggungjawab menjaga dengan gagal memastikan remaja berkenaan menerima rawatan perubatan yang sewajarnya.
Menurutnya, adalah munasabah untuk menjangkakan kegagalan agensi-agensi kerajaan yang dinamakan itu melaksanakan dasar-dasar berkaitan dengan sewajarnya boleh menyebabkan pelajar yang mengalami masalah kesihatan mental menimbulkan risiko keselamatan kepada pelajar lain, termasuk kecederaan fizikal.
Lee Ping berkata, tuntutan keluarga terhadap pihak berkuasa sekolah dan agensi kerajaan adalah atas dasar kecuaian.
Katanya, langkah intervensi boleh diambil sekiranya langkah yang diperlukan bagi mengesan masalah itu pada peringkat awal dilaksanakan.
Ia termasuk penilaian lebih terperinci terhadap keadaan kesihatan mental remaja berkenaan, termasuk penilaian psikiatri yang boleh membawa kepada keputusan untuk mengeluarkannya dari sekolah sehingga risiko terhadap keselamatan pelajar lain dapat ditangani dengan sewajarnya.
Lee Ping berkata, kehilangan nyawa Shing Xuen secara mengejut dan tidak masuk akal menyebabkan beliau mengalami kesedihan yang amat mendalam kerana membesarkan anaknya itu sebagai ibu tunggal.
Sejak kejadian tersebut, dia tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pekerjaan sehingga menyebabkan pendapatannya berkurangan dan menjejaskan kehidupannya sebagai pencari nafkah utama keluarga.
Mengenai kakak Shing Xuen pula, Lee Ping berkata, anaknya yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi juga tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran, sekali gus menjejaskan prestasi akademiknya.
Katanya, mereka masih belum dapat menerima sepenuhnya kejutan akibat kejadian tersebut, selain belum bersedia dari segi mental untuk mendapatkan bantuan profesional kesihatan bagi membincangkan trauma yang dialami.
Peguam yang mewakili keluarga, Surendra Ananth berkata, saman berkenaan kini ditetapkan untuk pengurusan kes pada 29 Oktober ini.






