
BATU PAHAT – Keluarga kepada pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, yang ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini semalam, berharap pelaku menerima hukuman setimpal dengan perbuatannya.
Datuk arwah, Khyar Abbas berkata, dia amat kecewa dan sedih dengan cara cucunya yang dipelihara sejak berusia sembilan tahun itu menemui ajal.
Menurutnya, Irene Sofiya merupakan seorang cucu yang baik dan pemergiannya secara tragis itu amat sukar diterima seluruh keluarga.
“Saya sungguh sedih dengan pemergian cucu saya ini, dengan cara yang tragis. Kalau dia pergi dalam keadaan sakit atau apa sekalipun, mungkin saya boleh terima.
“Tetapi keadaan dia ketika ditemui semalam, saya sendiri tidak sampai hati untuk menggambarkan bagaimana keadaannya.
“Dia budak yang baik. Semoga dia dirahmati Allah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Selamat di sini hari ini.
Khyar berkata, keluarga berharap proses undang-undang terhadap individu yang bertanggungjawab dapat dilakukan sebaik mungkin dan hukuman sewajarnya dikenakan.
Sementara itu, ibu saudara arwah, Siti Nur Faeza Khyar berkata, Irene Sofiya merupakan seorang pelajar yang pendiam, namun tidak pernah menyusahkan keluarga dan mampu berdikari dalam urusan pembelajarannya.
“Kalau tanya saya secara jujurnya, dia seorang budak yang sangat pendiam. Senang cerita, dia bukan orang yang susah untuk dijaga.
“Kalau pasal pelajaran, dia akan jalan sendiri. Dia tahu apa yang dia perlu buat,” katanya.
Arwah merupakan anak tunggal dan ibunya yang juga seorang doktor pakar meninggal dunia akibat kanser kira-kira lapan tahun lalu.
Jenazah Irene Sofiya kini masih menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Nora Ismail dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam berhampiran kediaman datuknya selepas solat asar hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Bunuh di sekolah: Keluarga harap pelaku terima hukuman setimpal appeared first on Kosmo Online.






