
BATU PAHAT – Seorang pelajar lelaki diarahkan Mahkamah Majistret untuk menjalani perintah khidmat masyarakat selama 90 jam dalam tempoh enam bulan selepas mengaku bersalah merogol seorang kenalan wanita selepas selesai berjoging, dua bulan lalu.
Majistret Mustaqim Sukarno membuat keputusan itu terhadap pelajar berusia 15 tahun berkenaan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Selain itu, tertuduh dikenakan bon jaminan RM1,500 dengan syarat sekatan keluar rumah antara pukul 9 malam hingga 6 pagi, berunding dengan guru kaunseling sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga bulan dan melapor diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dua kali sebulan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol kenalan perempuannya yang berusia 14 tahun di dalam sebuah bilik di sebuah stadium di bandar ini, pada pukul 10.30 pagi, 5 Julai lalu.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) berhubung seorang remaja yang didakwa dirogol oleh rakan lelaki yang dikenalinya.
Hasil siasatan mendapati mangsa berjumpa dengan tertuduh untuk berjoging bersama-sama di Tasek Y.
Selepas berjoging, mangsa dan tertuduh berehat di sebuah stadium sebelum tertuduh menarik tangan mangsa dan membawanya ke dalam sebuah bilik yang tidak berkunci, lalu melakukan perbuatan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar noda rakan lepas joging, diperintah jalani khidmat masyarakat appeared first on Kosmo Online.



