Pelajar OKU penglihatan jadikan al-Quran sebagai pendamping

13 Jun 2023 • 4:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zulhilmi (dua dari kanan) di samping ibunya, Siti Esah Manab (dua dari kiri) dan bapanya, Mohd Zaidi (kanan) menunjukkan keputusan SPM. Turut kelihatan adiknya, Siti Damia.

PETALING JAYA - Status orang kurang upaya (OKU) tidak menghalang Muhammad Zulhilmi Mohd Zaidi, 18, dinobatkan sebagai pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) dari Maahad Tahfiz Integrasi Sahabat Insani (MTISI) itu memperoleh keputusan 7A dalam peperiksaan tersebut.

Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu mendapat A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Perniagaan serta Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah.

Zulhilmi mengalami masalah penglihatan terhad sejak kecil dan sentiasa menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) enam bulan sekali.

Berkongsi rahsia kejayaan, Zulhilmi berkata, dia selalu menjadikan al-Quran sebagai pendamping hariannya terutama ketika belajar.

“Setiap hari, selepas solat Subuh, saya akan mulakan dengan menghafal ayat al-Quran. Kemudian mengulanginya pada waktu maghrib.

“Sebelum memulakan ulang kaji pelajaran pun, saya akan membaca atau menghafal beberapa ayat al-Quran terlebih dahulu sebagai pembuka.

“Bila sebut tentang pelajaran ini, memang tak terlepas juga daripada berjaga malam. Selalunya memang saya susun jadual, dari jam 2 ke 4 pagi, akan digunakan untuk belajar,” katanya ketika ditemubual media pada Selasa.

Pelajar tajaan penuh Sahabat Insani itu juga mengakui pada awalnya tidak mudah untuk menempuh cabaran sepanjang tempoh pembelajaran.

Ujarnya, memegang status satu-satunya pelajar OKU menjadikan dia kelihatan asing pada mulanya.

“Pada awalnya, ramai juga yang susah nak terima saya, sebab agak berbeza daripada yang lain. Tetapi lama-kelamaan alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja. Saya selalu ulang kaji pelajaran bersama mereka.

“Cuma dari tahun ke tahun, ada ramai kawan yang sudah tidak bersama lagi kerana berpindah ke sekolah lain membuatkan semangat itu agak jatuh sedikit ketika itu. Tetapi itu tidaklah saya lihat sebagai batu penghalang,” tambahnya.

Zulhilmi berkata, dia mempunyai impian untuk menyambung pelajaran sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

“Cita-cita saya memang nak masuk ke dalam bidang pendidikan, nak jadi seorang guru. Saya nak balas jasa keluarga saya yang selama ini membesarkan saya dengan menyara mereka kembali.

“Jika tidak, saya cenderung untuk memilih pilihan lain seperti jurusan agama seperti pengajian al-Quran dan sunnah serta syariah,” ujarnya.

Selain Zulhilmi, kedua-dua adiknya iaitu Siti Damia Mohd Zaidi, 5, dan Muhammad Zahiruddin, 15, juga menghadapi masalah penglihatan.

Sementara itu, ayahnya, Mohd Zaidi Rosli, 47, meluahkan kesyukuran atas kejayaan anaknya dalam SPM.

Jelas anak kelahiran Pahang itu, dia sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada Zulhilmi semenjak menghantarnya ke MTISI.

“Semoga dia sentiasa diberikan peluang baik untuk sambung lagi pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.