
KOTA BHARU – Seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Seorang lagi pelajar turut cedera dan kini menerima rawatan zon merah di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri, berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu wanita terbabit tertekan pedal minyak ketika memandu di dalam kawasan sekolah.
“Akibat itu, kenderaan terbabas lalu melanggar dua pelajar serta sebuah tiang batu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, ketika kejadian, kedua-dua mangsa berada di hadapan surau sekolah dan sedang memakai kasut sebelum dirempuh kenderaan tersebut.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat, manakala pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Insiden tragis ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan di kawasan sekolah.





