
Sandakan – Misteri kehilangan seorang pelajar perempuan berakhir tragis apabila remaja berusia 17 tahun itu ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta bersama seorang lelaki dipercayai kekasihnya di Bandar Sejati Walk, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa ditemui bersama seorang lelaki berusia 18 tahun di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K. Ramasamy berkata, pihak polis menerima maklumat awam sebelum sepasukan anggota bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati semua tingkap kereta tertutup rapat dan berkunci, manakala barangan berharga milik kedua-dua mangsa masih berada di dalam kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bapa Mangsa Temui Kereta, Buka Pintu Guna Kunci Pendua
Menurut beliau, siasatan awal mendapati remaja lelaki terbabit keluar dari rumah pada Jumaat lalu untuk bertemu dengan mangsa sebelum kedua-duanya gagal dihubungi oleh ahli keluarga.
“Bapa kepada pelajar perempuan itu kemudiannya menemui kereta miliknya di kawasan parkir Bandar Sejati Walk sebelum membuka pintu menggunakan kunci pendua dan menjumpai kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Tambah Ramasamy, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat di lokasi kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – The Malaysian Update
The post Pelajar Perempuan Hilang Ditemui Meninggal Dunia Dalam Kereta Bersama Lelaki Dipercayai Kekasih appeared first on The Malaysian Update.
