'Dia cakap gelap mata...' Ibu saudara maafkan guru rempuh pelajar hingga maut, tapi tak izin datang rumah, ini kronologi

13 Apr 2026 • 3:56 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

SUASANA pilu menyelubungi sebuah keluarga di Kampung Gayong, Kota Bharu selepas pemergian pelajar Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Ahad lalu.

Di sebalik kesedihan dan kehilangan, ibu saudara Allahyarham, Zuraifah Noor, 43, sempat memaafkan guru yang terbabit.

Memetik laporan Sinar Harian, Zuraifah mendedahkan guru terbabit beberapa kali memohon maaf kepadanya semasa mereka bertemu selepas kejadian itu sekali gus mengakui apa yang berlaku itu merupakan takdir yang ditentukan oleh ALLAH SWT.

"Dia cakap gelap mata, tak tahu nak cakap apa. Sedar-sedar benda sudah berlaku.

"Saya pandang wajahnya, dia kelihatan seperti terkejut dan trauma. Apa pun ini semua takdir ALLAH, kalau marah, nanti marah pada apa yang ALLAH takdirkan.

image is not available

"Kita faham, tiada orang yang mahu perkara ini berlaku," katanya.

Dalam pada itu, biarpun telah memaafkan guru terbabit, Zuraifah tidak mengizinkan guru terbabit dan ahli keluarga mereka berkunjung ke rumahnya.

Ujarnya, biarlah mereka sekelurga bertenang dahulu buat masa ini.

Mengimbas kembali hubungannya dengan Allahyarham Nur Fatimatul Hawa, Zuraifah mengakui arwah telah dijaga sejak kecil lebih-lebih lagi selepas ibunya kembali ke rahmatullah.

"Kakak saya, ibu kepada arwah meninggal dunia selepas bercerai. Tetapi sebelum itu memang mereka tinggal bersama saya di rumah keluarga di sini sejak kecil lagi.

"Selepas kematian ibu mereka lima tahun lalu, saya yang mengambil alih menjaga keempat-empat beradik ini," katanya.

Ujar Zuraifah, selain Allahyarhamah Nur Fatimatul Hawa, tiga lagi adik-beradik arwah berada di bawah jagaannya iaitu Nur Fatimatul Zahra, 16, Muhammad Ali Mustaqim, 15, dan Muhammad Ariff Mustaqim, 11.

KRONOLOGI 

image is not available

1-Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 2.15 petang.

2-Siasatan awal mendapati, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita di dalam kawasan sekolah dipercayai tertekan pedal minyak sebelum hilang kawalan.

3-Kenderaan pacuaan empat roda dipandu guru berkenaan berkenaan terbabas ke hadapan dan melanggar dua pelajar yang berada di hadapan surau sekolah berkenaan sebelum turut merempuh tiang batu surau. 

4-Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Nur Fatimatul Hawa yang baharu sahaja seelsai menunaikan solat Zohor sedang memakai kasut di hadapan surau dirempuh meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

5-Sementara itu, seorang lagi pelajar yang dilanggar masih dirawat di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) susulan kecederaan parah pada bahagian badan.

6-Difahamkan, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

7-Sementara itu, guru berusia 57 tahun dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman pada pagi Isnin.

Sumber: Sinar Harian