Pelajar Sabah jana RM1.4 juta menerusi Protune

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 5:00 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pelajar Sabah jana RM1.4 juta menerusi Protune

Kota Kinabalu: Program Tunas Niaga (Protune) Peringkat Negeri 2025 merekodkan jumlah jualan melebihi RM1.4 juta sepanjang sembilan bulan pelaksanaannya sekali gus membuktikan potensi besar pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata syarikat Protune yang ditubuhkan oleh sekolah-sekolah peserta mencatat jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM1,408,632.26 dengan keuntungan bersih RM380,098.41.

Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan dedikasi, kreativiti dan komitmen pelajar serta guru penasihat dalam membangunkan syarikat sekolah masing-masing.

“Namun, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui jumlah jualan atau keuntungan tetapi melalui pengalaman, keyakinan, kepimpinan, kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan yang dibangunkan sepanjang program ini.

“Saya berharap pengalaman dan ilmu yang diperoleh dapat melahirkan generasi baharu usahawan yang mampu bersaing serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Visi Sabah First,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Protune Peringkat Negeri 2025, di sini, pada Selasa.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata beliau bersetuju menyalurkan tambahan RM2,000 kepada setiap 15 sekolah yang layak ke peringkat akhir menerusi Dana Khas Pembangunan Keusahawanan kementeriannya.

“Selain itu, saya turut meluluskan tambahan RM10,000 daripada dana yang sama kepada syarikat sekolah yang menerima Anugerah Protune 2025.”Program berkenaan dianjurkan oleh Sedcovest, anak syarikat Sedco, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah. Sebanyak 45 sekolah dari seluruh negeri menyertai program tahun ini dengan 15 sekolah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.

Ewon berkata Kerajaan Negeri melalui kementeriannya akan terus menyokong pelaksanaan Protune dengan menyalurkan dana pembangunan keusahawanan kepada Sedcovest bagi memastikan pembangunan keusahawanan di peringkat sekolah dapat diteruskan.

Beliau berkata impak positif program itu dapat dilihat menerusi statistik alumninya iaitu 68 peratus melanjutkan pengajian, 21 peratus memasuki alam pekerjaan, sembilan peratus sedang mencari pekerjaan dan dua peratus memilih untuk menceburi bidang keusahawanan.

Beliau berharap program itu akan terus diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang kreatif, inovatif dan berdaya saing sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah.

Pada majlis itu, SMK Sepagaya, Lahad Datu muncul sebagai pemenang Anugerah Syarikat Protune Terbaik dan menerima wang tunai RM2,500, trofi serta sijil.

Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd Datuk Redonah Bahanda berkata Protune yang dilaksanakan sejak 1997 menjadi platform penting dalam melahirkan golongan muda Sabah yang berdaya saing, kreatif dan mempunyai minda keusahawanan.

Beliau berkata sepanjang tempoh sembilan bulan, peserta mengurus syarikat masing-masing, membangunkan produk, mengendalikan aktiviti pemasaran, menyediakan laporan tahunan serta membentangkan prestasi syarikat di hadapan panel hakim profesional.

“Protune bukan sekadar pertandingan untuk menentukan pemenang, tetapi merupakan platform membentuk sahsiah, integriti, disiplin dan daya tahan pelajar agar mereka mampu menjadi pencipta pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri pada masa hadapan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved