Pelajar sanggup menyorok belakang tiang, malu beri cikgu kuih ros patah – 'Hadiah Hari Guru buat saya bergenang air mata'

LocalLifestyle
15 May 2026 • 9:00 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Pelajar sanggup menyorok belakang tiang, malu beri cikgu kuih ros patah – 'Hadiah Hari Guru buat saya bergenang air mata'

BULAN Mei selalunya cukup meriah dengan sambutan Hari Ibu, namun jangan kita lupa bahawa dalam bulan yang sama, jasa insan bergelar pendidik turut diraikan.

Baru-baru ini, tular sebuah kisah yang menyentuh tangkai hati hasil perkongsian seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Ali menerusi Threads miliknya. 

Kisah ini bukan tentang hadiah mewah berjenama atau jambangan bunga yang mahal, tetapi tentang sebungkus kuih tradisional yang dibalut dengan penuh kasih sayang oleh seorang anak muridnya.

Bayangkan, di saat rakan-rakan lain mungkin membawa hadiah yang dibeli oleh ibu bapa di kedai, anak ini memilih untuk mencari inisiatif sendiri demi menghargai gurunya.

Walaupun hanya sekeping kuih ros yang sedikit patah, namun keikhlasan yang terpancar daripada usaha itu benar-benar luar biasa dan mampu membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya berasa sebak.

Menceritakan kembali detik hiba itu, Cikgu Ali mengakui bahawa pemberian ringkas itu adalah hadiah yang paling menyentuh perasaannya sepanjang bergelar guru.

Image from: Pelajar sanggup menyorok belakang tiang, malu beri cikgu kuih ros patah – 'Hadiah Hari Guru buat saya bergenang air mata'

“Ini adalah hadiah Hari Guru yang paling buat saya bergenang air mata setiap kali teringat. Waktu ini dia selalu tanya cikgu dah buka ke belum.

"Kebetulan hari itu sibuk di sekolah jadi malam baru saya buka. Effort dia lukis bintang and wrap makanan itu elok-elok.

"Waktu ini juga dia menyorok belakang tiang tak silap sebab malu tak sama dengan hadiah orang lain. Tapi dia tak tahu inilah yang salah satunya cikgu dia paling ingat paling simpan gambar ini," ungkap cikgu Ali.

Tindakan pelajar sekolah menengah itu yang sanggup menyorok di belakang tiang kerana perasaan malu menggambarkan betapa sucinya hati seorang remaja yang hanya ingin memberi apa yang termampu.

Sebagai tanda penghargaan atas keikhlasan muridnya itu, cikgu Ali membalas kebaikan tersebut dengan menyediakan kek batik buat pelajar berkenaan dan rakan sekelasnya pada keesokan hari untuk dinikmati bersama-sama.

Air tangan guru kesayangan

Ternyata, cikgu Ali sendiri sememangnya seorang guru yang cukup pemurah dan rajin turun ke dapur demi meraikan anak-anak muridnya.

Dia pernah berkongsi kegembiraan menyediakan cheesekut kek batik buat murid Tahun 5 sebagai hadiah atas kerajinan mereka belajar, dan rata-rata memuji keenakan air tangan guru kesayangan mereka itu.

Image from: Pelajar sanggup menyorok belakang tiang, malu beri cikgu kuih ros patah – 'Hadiah Hari Guru buat saya bergenang air mata'

Meninjau ke ruangan komen, ramai warga maya yang turut mengakui menitiskan air mata membaca perkongsian tersebut.

"ALLAH, gugur airmata tak terasa ni Mr Ali."

"Anak yang luar biasa. Tak meminta, cari inisiatif sendiri memberi. Cikgu pun wajar dipuji, terima tanpa merendah-rendahkan mana-mana pihak. Saya hormat."

Ada yang menyifatkan anak murid itu sebagai individu yang luar biasa kerana tidak meminta-merta daripada ibu bapa, sebaliknya berusaha sendiri untuk memberi.

Keikhlasan itu jauh lebih bernilai kerana ia datang dari hati, bukannya disiapkan oleh orang dewasa.

"Terharu sangat kalau hadiah macam ni sebab kita tahu ikhlas dari hati dia sendiri dan bersungguh-sungguh nak bagi. Bukan mak ayah dia yang buatkan."

"Effort dia nak bagi pada guru yang baik dengan dia walaupun hanya sekeping kuih ros yang patah."

Malah, ada juga rakan guru lain yang berkongsi pengalaman serupa menerima hadiah seketul gula-gula yang dibalut kertas ringkas, namun memori itu kekal abadi sebagai bukti bahawa mereka dihargai oleh anak didik yang naif dan jujur.

Image from: Pelajar sanggup menyorok belakang tiang, malu beri cikgu kuih ros patah – 'Hadiah Hari Guru buat saya bergenang air mata'

Sebenarnya, kisah cikgu Ali dan anak muridnya ini memberi pengajaran besar buat kita semua sebagai ibu bapa.

Tugas mendidik anak-anak untuk menghormati dan menghargai guru perlu bermula dari rumah.

Walaupun kadangkala guru terpaksa bertegas atau memarahi anak-anak kerana tidak menyiapkan kerja sekolah, itu semua adalah sebahagian daripada proses mencorakkan masa depan mereka.

Bukan mudah untuk memikul tanggungjawab sebagai pendidik di zaman serba mencabar ini, maka hargailah setiap titik peluh mereka.

Selamat hari guru diucapkan buat cikgu Ali dan seluruh warga pendidik di luar sana.

Semoga segala keikhlasan dan pengorbanan dalam mendidik anak bangsa dibalas dengan sejuta keberkatan dan kebaikan oleh-NYA.

View Original Article