
IPOH – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian pelajar tingkatan tiga yang ditemukan dalam bangunan sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, penelitian terhadap rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak menunjukkan sebarang perbuatan buli.
Katanya, pemeriksaan lanjut juga tidak menemukan sebarang kesan kecederaan lain pada tubuh remaja berusia 15 tahun tersebut.
“Pihak sekolah memberikan tiga siri rakaman video di bilik sakit dan kita lihat tiada unsur jenayah atau buli, memang tidak wujud.
“Apabila kita lihat rakaman CCTV, perbuatan yang dilakukan mangsa adalah atas tindakannya sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, polis merakam keterangan 11 individu terdiri daripada enam pelajar dan lima guru, selain turut merakam percakapan ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan.
“Mangsa dipercayai kurang sihat dan ditempatkan di bilik sakit sekolah berkenaan sejak Isnin lalu sebelum ditemukan seorang pelajar pada pukul 2.45 petang ketika mahu ke tandas.
“Berdasarkan penelitian rakaman CCTV, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.35 pagi,” katanya.
Mohd. Alwi berkata, polis masih meneruskan rakaman percakapan beberapa rakan mangsa bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan dan perlakuan si mati sebelum kejadian.
“Kita akan melihat corak perlakuan mangsa berdasarkan keterangan rakan-rakannya,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Pelajar SBP maut: Tiada unsur jenayah atau buli appeared first on Kosmo Online.






