Pelajar SBP Maut: Bedah Siasat Sahkan Jerutan Sebagai Punca Kematian - Polis

19 Nov 2026 • 7:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pelajar SBP Maut: Bedah Siasat Sahkan Jerutan Sebagai Punca Kematian - Polis

KUALA KANGSAR - Kematian seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di sini, semalam, disahkan berpunca daripada jerutan di leher berdasarkan hasil bedah siasat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pemeriksaan terhadap tubuh mangsa menemukan kesan jerutan pada bahagian leher, namun tiada kecederaan lain dikesan.

Beliau berkata, polis turut meneliti tiga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diserahkan pihak sekolah bagi membantu siasatan.

“Setakat penelitian terhadap rakaman berkenaan, tiada unsur perbuatan jenayah atau buli dikesan,” katanya.

Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan daripada 11 individu, terdiri daripada enam pelajar dan lima guru.

Keterangan turut diambil daripada rakan-rakan mangsa bagi mengenal pasti keadaan serta tingkah laku pelajar itu sebelum kejadian.

“Mangsa ditempatkan di bilik rawatan sekolah sejak Isnin lalu, termasuk pada hari dia ditemukan meninggal dunia.

“Bilik berkenaan dikhaskan untuk pelajar yang kurang sihat atau memerlukan pengangkutan ke hospital,” katanya.

Mohd Alwi berkata, bilik tersebut turut dilengkapi kamera CCTV bagi membolehkan pihak sekolah memantau keadaan pelajar yang tidak sihat.

“Berdasarkan rakaman CCTV, mangsa dipercayai meninggal dunia pada jam 10.35 pagi.

“Bagaimanapun, mangsa hanya ditemukan pada jam 2.45 petang oleh seorang lagi pelajar yang masuk ke bilik berkenaan untuk menggunakan tandas,” katanya.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR) dan tidak disiasat mengikut mana-mana kesalahan jenayah khusus.

Sementara itu, proses bedah siasat terhadap mangsa di Jabatan Forensik Hospital Taiping selesai kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Jenazah mangsa kemudian dibawa pulang ke Juasseh, Negeri Sembilan, pada jam 3.30 petang untuk urusan pengebumian. - Getaran, 19 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved