
DUNGUN – Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di daerah ini menghilangkan diri selepas keluar dari kawasan sekolah tersebut pada kelmarin.
Sewaktu keluar pada pukul 9.30 pagi tersebut, remaja perempuan berkenaan, Tania Zara Syahirul Haslam, 16, memberi alasan kononnya mempunyai janji temu pergigian bersama bapanya.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, siasatan mendapati alasan itu sebenarnya tidak benar dan ibu bapa pelajar itu sendiri tidak tahu-menahu tentang temujanji pergigian tersebut.
Beliau berkata, sebelum menghilangkan diri, Tania Zara memakai jersi berwarna hitam, berseluar trek sukan dan bertudung.
“Siasatan juga mendapati remaja tersebut (Tania Zara) turut membawa bersama beberapa helai pakaian dan barang keperluan sewaktu keluar dari sekolah tersebut.
“Dia tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi sehingga kini,” katanya di sini hari ini.
Nik Ab. Halim berkata, siasatan juga mendapati Tania Zara pernah beberapa kali cuba lari dari rumah namun berjaya ditemui dalam keadaan selamat.
Dia berkata, orang ramai yang terserempak atu mempunyai maklumat tentang remaja tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nor Atikah Ahmad di talian 010-7164689. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar sekolah hilang, beri alasan janji temu gigi appeared first on Kosmo Online.




