Pelajar Selangor terkandas di Jeddah selamat - Amirudin

4 Mar 2026 • 11:39 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tujuh pelajar Selangor yang dilaporkan terkandas di Jeddah, Arab Saudi, kini telah dipindahkan ke Jordan susulan konflik di Asia Barat.

SHAH ALAM - Seramai tujuh pelajar Selangor yang menuntut di Jordan dilaporkan terkandas di Jeddah, Arab Saudi, kini telah dipindahkan ke Jordan susulan konflik di Asia Barat yang tercetus baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesemua pelajar terbabit memasuki Arab Saudi bagi menunaikan ibadah umrah dan sepatutnya pulang semula ke Jordan pada 28 Februari lalu.

Menurutnya, wakil kerajaan Selangor segera berhubung dengan pegawai Konsul di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Hijaz Ramli bagi mendapatkan bantuan.

"Semua pelajar berkenaan telah ditempatkan di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah selama satu malam sebelum dipindahkan ke hotel berhampiran selama dua hari sementara menunggu proses penghantaran pulang ke Jordan.

"Mereka dijadualkan bergerak pulang melalui jalan darat menggunakan bas pada 3 Mac jam 10.30 pagi waktu Jeddah bersamaan 3.30 petang waktu Malaysia dan perjalanan dijangka mengambil masa kira-kira 24 jam untuk tiba ke destinasi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, selain tujuh pelajar Selangor itu, terdapat 12 lagi pelajar Malaysia di Jordan yang turut mengalami situasi sama.

Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah atas bantuan mobilisasi dan perlindungan diberikan kepada semua pelajar terlibat.

"Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan konflik di Timur Tengah (Asia Barat) bagi memastikan kebajikan dan keselamatan anak Selangor di rantau berkenaan sentiasa terpelihara," tambah beliau.