Pelajar SMK Indera Shahbandar timba pelbagai ilmu menerusi Program Outreach UMP

7 Nov 2022 • 2:33 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

Seramai 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Shahbandar, Pekan, Pahang berpeluang mempelajari asas elektrik dan elektronik menerusi Program Outreach Universiti Malaysia Pahang (UMP) – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sekolah itu, baru-baru ini.

Program tersebut bertujuan membudayakan kreativiti dan inovasi dalam kalangan komuniti luar bandar khususnya pelajar sekolah mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut Ketua Bidang Sains dan Matematik, SMK Indera Shahbandar, Cikgu Mohd Zaidi Awang Kechik, pelajar yang mengikuti program itu melahirkan keterujaan kerana dapat mempelajari pelbagai asas elektrik dan elektronik.

“Saya mewakili warga sekolah mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan UMP dan KPT kerana memilih pelajar SMK Indera Shahbandar menyertai program tersebut.

“Saya berharap akan lebih banyak program sebegini dapat dilaksanakan dalam menarik pelajar meminati STEM,” ujarnya.

image is not available
Peserta menyiapkan tugasan ketika mengikuti Program Outreach UMP-KPT.

Sementara itu, peserta program, Ahmad Khalid Mohd Tamzi yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga berkata, program tersebut banyak membantunya memahami asas elektrik.

“Di sekolah, kami memang mempelajari tentang asas elektrik dan elektronik di dalam subjek Sains serta Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).

“Bagaimanapun, apabila program ini diadakan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu saya dan rakan memahami lebih mendalam tentang asas tersebut,” ujarnya yang kini mendapat ilmu tambahan berkenaan cara-cara menterjemah litar skematik kepada lukisan bergambar untuk membuat projek menerusi program Outreach UMP-KPT tersebut.

Artikel berkaitan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok