Pelajar SMK Sultan Sulaiman asah bakat jadi cef muda

FoodCooking
26 Aug 2026 • 11:27 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelajar SMK Sultan Sulaiman  asah bakat jadi cef muda

Bakat memasak perlu dicungkil sejak di bangku sekolah bagi memberi peluang kepada generasi muda mengembangkan kemahiran kulinari, selain memastikan masakan tradisional terus dikenali dan dihargai.

Sehubungan itu, Program Remaja Chef Challenge 2026 menjadi platform untuk mencungkil bakat kulinari dalam kalangan pelajar, di samping memperkenalkan semula masakan tradisional sebagai sebahagian daripada warisan makanan kepada generasi muda.

Program anjuran Syarikat Rempah Cap Bunga Rose itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Pengarah Program, Mohd. Khairul Ridzuan berkata, pemilihan konsep masakan dibuat bagi memberi peluang kepada pelajar mengenali dengan lebih dekat makanan tradisional yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat.

Menurutnya, pendedahan itu penting supaya generasi muda tidak hanya mengenali makanan moden, sebaliknya turut memahami kepelbagaian makanan warisan yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Kita mahu pelajar lebih mengenali masakan tradisional termasuk bahan yang digunakan, cara penyediaan dan keunikan setiap hidangan.

“Pada masa sama, kita mahu mereka sedar bahawa masakan ini juga mempunyai nilai dan potensi untuk dikembangkan mengikut kreativiti generasi muda,” katanya kepada K-Remaja baru-baru ini.

Tambahnya, pertandingan itu turut memberi ruang kepada pelajar untuk mencuba kemahiran baharu, selain mengasah kreativiti, keyakinan diri dan keupayaan bekerja dalam kumpulan.

Katanya, bidang kulinari mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai kerjaya atau bidang keusahawanan pada masa depan.

Image from: Pelajar SMK Sultan Sulaiman  asah bakat jadi cef muda
Dua peserta sedang menyediakan hidangan berasaskan masakan kampung.

“Kita mahu pelajar melihat kemahiran memasak dari sudut yang lebih luas kerana bukan sekadar aktiviti di rumah, tetapi boleh menjadi satu kemahiran yang membawa kepada kerjaya dan perniagaan.

“Jadi melalui program ini, kita cuba membuka minda mereka bahawa bakat yang ada boleh dikembangkan sekira diberikan peluang dan bimbingan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Sultan Sulaiman, Mohd. Fadzli Yusof berkata, pihak sekolah menyambut baik penganjuran program berkenaan kerana memberi pengalaman berbeza kepada pelajar.

Menurutnya, pembangunan pelajar tidak hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu dilengkapi dengan kemahiran lain yang boleh membantu mereka menghadapi kehidupan sebenar.

“Kita sangat menyokong program seperti ini kerana selain akademik, pelajar juga perlu mempunyai kemahiran, keyakinan diri dan pengalaman yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan mereka.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk menyerlahkan bakat yang mungkin tidak dapat ditonjolkan melalui akademik semata-mata,” katanya.

Katanya, pengenalan kepada masakan tradisional dalam pertandingan itu juga dilihat sebagai satu usaha baik untuk memastikan makanan warisan terus dikenali generasi muda.

Katanya, apabila pelajar sendiri berpeluang menyediakan hidangan tersebut, mereka akan lebih memahami proses penyediaan serta menghargai nilai yang terkandung dalam makanan warisan.

“Kalau kita tidak beri pendedahan kepada generasi muda, dikhuatiri makanan tradisional semakin kurang dikenali.

“Jadi, program seperti ini bukan sahaja mengajar mereka memasak tetapi secara tidak langsung membantu kita memperkenalkan dan mengekalkan warisan makanan kepada generasi seterusnya,” katanya.

Dalam pertandingan itu, peserta perlu menyediakan hidangan berasaskan masakan kampung dengan mengaplikasikan kreativiti masing-masing.

Selain kemahiran memasak, peserta turut didedahkan dengan aspek kebersihan, pengurusan masa, pembahagian tugas dan penyediaan makanan secara teratur.
Mohd. Khairul berkata, pihaknya berharap Remaja Chef Challenge dapat berkembang sebagai program tahunan yang mampu mencungkil lebih banyak bakat baharu dalam bidang kulinari.

“Matlamat kita bukan semata-mata untuk mencari pemenang tetapi mahu memberi pengalaman baharu kepada pelajar dan membuka ruang untuk mereka mengenali potensi diri masing-masing.

“Kita berharap mereka membawa pengalaman ini ke luar sekolah dan terus mengembangkan kemahiran yang dipelajari,” katanya.

Untuk makluman, program Remaja Chef Challenge 2026 membabitkan lima sekolah terpilih di daerah Kuala Terengganu dengan setiap sekolah memilih seorang juara untuk mewakili sekolah masing-masing ke pusingan akhir.

Pusingan akhir dijadualkan berlangsung pada 11 September ini di Terengganu Trade Centre, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.

Pusingan akhir bakal menghimpunkan lima juara sekolah bagi merebut gelaran Juara Keseluruhan Remaja Chef Challenge 2026, sekali gus menjadi pentas untuk mengetengahkan bakat kulinari terbaik pelajar sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu.

The post Pelajar SMK Sultan Sulaiman asah bakat jadi cef muda appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved