SUKMA Bukan Sekadar Kejar Pingat, Medan Cungkil Bakat – PMX

25 Aug 2026 • 12:30 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

SUKMA Bukan Sekadar Kejar Pingat, Medan Cungkil Bakat – PMX

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Sukan Malaysia (SUKMA) bukan sekadar medan memburu pingat, sebaliknya menjadi gelanggang penting untuk mencungkil bakat serta melahirkan juara yang mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Menurut beliau, temasya yang dilancarkan pada 1986 itu terus memainkan peranan menyatukan bakat, semangat dan daya juang anak muda dari seluruh negara, termasuk penyertaan dari Brunei Darussalam.

Anwar berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook hari ini sempena Majlis Penutupan SUKMA ke-22 yang berlangsung malam tadi.

Dalam hantaran itu, beliau turut menjunjung kasih atas keberangkatan Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mewakili DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ke majlis berkenaan.

Ujarnya, SUKMA yang kini memasuki usia 40 tahun merupakan cetusan ilhamnya ketika beliau menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan pada 1983.

"Alhamdulillah, hari ini SUKMA terus menjadi medan menyatukan bakat, semangat dan daya juang anak-anak muda dari seluruh negara, termasuk Brunei Darussalam," katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada atlet Selangor, Eliza Tan Ai Shen dan atlet Pahang, Cheah Zen Hong yang masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Wanita dan Lelaki Terbaik.

Menurutnya, kejayaan tuan rumah, Selangor muncul Juara Keseluruhan SUKMA XXII turut menambah kemeriahan temasya berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor atas komitmen serta kerja keras menjayakan SUKMA XXII.

Jelasnya, penganjuran yang tersusun dan meriah membuktikan keupayaan Selangor mengangkat temasya sukan negara dengan penuh semangat serta kebersamaan.

"SUKMA bukan sekadar soal pingat, tetapi gelanggang mencungkil bakat dan melahirkan juara.

"Kepada anak-anak muda, teruskan berjuang dan asah bakat kerana insya-Allah, ada antara kalian yang bakal menggalas nama Malaysia di pentas dunia," ujarnya.

Baca juga:

Anwar turut mengucapkan syabas kepada semua atlet, jurulatih, pegawai dan urus setia yang menjayakan temasya sukan dwitahunan itu.

Menurut beliau, usaha dan semangat yang ditunjukkan semua pihak perlu diteruskan demi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi untuk membawa cabaran Malaysia ke peringkat antarabangsa.

"Tahniah semua. Teruskan melangkah dan terus mengharumkan nama negara," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved