
PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit segera susulan kematian seorang murid tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah, semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, audit berkenaan akan memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sekolah terbabit.
Menurutnya, langkah itu bagi mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan yang berlaku berhubung kejadian tersebut.
“Di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sedikolah akan diteliti secara menyeluruh.
“Saya telah mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit dengan segera bagi mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fadhlina berkata, beliau turut hadir ke sekolah berkenaan, pagi ini bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian serta tindakan yang telah diambil.
Katanya, beliau bertemu warga sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Siasatan berhubung kejadian ini sedang dijalankan oleh PDRM. KPM dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus,” katanya.
Tegasnya, tiada mana-mana pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, beliau telah bertemu ahli keluarga murid berkenaan di hospital bagi menyampaikan sendiri rasa simpati atas kehilangan tersebut.
KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga murid berkenaan serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian itu.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian seorang pelajar tingkatan dua SMK Za’ba, Kuala Pilah, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan buli.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Za’ba, Abd. Malek Abd. Ghani berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci bagi memastikan punca sebenar kejadian dapat dikenal pasti. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar SMK Za’ba maut: Fadhlina arah KPM audit segera appeared first on Kosmo Online.






