
KUALA LUMPUR - Sebutan kes remaja lelaki yang dituduh membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah ditangguhkan, selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya dimaklumkan bahawa tertuduh perlu menjalani pemeriksaan mental.
Majistret Amira Sariaty Zainal menetapkan 19 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.
Peguam tertuduh, Kitson Foong berkata, laporan penilaian psikiatri itu amat penting bagi memastikan anak guamnya layak membuat pengakuan dan menjalani proses perbicaraan.
“Mahkamah hari ini telah mengambil kira Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah yang membenarkan permohonan sebegini dan menangguhkannya ke satu tarikh baharu dengan harapan laporan tersebut akan siap untuk dibentangkan di mahkamah.
“Penilaian perlu dibuat bagi menentukan sama ada anak guam saya layak membuat pengakuan dan dibicarakan kelak. Selain itu, ia juga penting kerana keadaan mental tertuduh perlu diambil kira apabila didakwa melakukan suatu kesalahan,” katanya kepada media ketika ditemui di perkarangan mahkamah.
Jelas Foong, penangguhan berkenaan dilihat sebagai komitmen mahkamah untuk memastikan proses undang-undang dilaksanakan dengan teliti dan adil, khususnya dalam kes melibatkan pesalah juvana.
Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman.
Mengulas mengenai keadaan tertuduh yang kini menerima rawatan di Hospital Bahagia, Foong berkata, anak guamnya difahamkan berada dalam keadaan baik dan sedang menerima rawatan sepenuhnya.
Pada sebutan pertama sebelum ini, pertuduhan telah dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal melalui prosiding tertutup memandangkan tertuduh ialah seorang juvana.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Pada 14 Oktober, remaja lelaki berusia 14 tahun itu dituduh membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Tertuduh didakwa membunuh mangsa di dalam tandas pelajar perempuan antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi. – Getaran, 21 November 2025

