
KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap lelaki warga Nepal yang membabitkan kes bunuh dua beranak di Juru, pada 18 Oktober lalu.
Proding terpaksa ditangguh berikutan tertuduh, Dinesh Kumar Mandal, 35, dikatakan tidak memahami bahasa Melayu dan memerlukan jurubahasa bagi membolehkan pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya, lapor BH.
Majistret Nurul Rasyidah Akit menetapkan 26 November depan untuk lantikan jurubahasa Nepal dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Mengikut jadual, prosiding hari ini sepatutnya menyaksikan tertuduh didakwa dua pertuduhan membunuh Sariya Che Hin, 51, dan Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan, jika tidak dikenakan hukuman gantung.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Zulfadli Hassan dan Anis Suhada Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media pada 18 Oktober lalu melaporkan, ibu bersama anak angkatnya itu ditemukan maut dipercayai dibunuh dalam kejadian di rumah mereka, sekitar jam 7.30 malam.
Kedua-dua mereka ditemukan dengan kesan tikaman dan kelar pada anggota badan termasuk kepala yang hampir putus dan tangan yang terputus. - 4 November, 2025
The post Prosiding pendakwaan warga Nepal suspek kes bunuh 2 beranak ditangguh, perlu jurubahasa appeared first on Scoop.


