
Bahaya rokok elektronik, remaja alami sawan kritikal di sekolah
Pelajar Tingkatan 4 Sawan Kritikal Akibat Hisap Vape Magic Mushroom. Seorang pelajar lelaki Tingkatan 4 dari sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kemaman, Terengganu, telah ditemui tidak sedarkan diri di kawasan sekolah pada hari Isnin lepas. Kejadian ini dipercayai berpunca daripada pengambilan rokok elektronik atau vape jenis ‘magic mushroom’ secara berlebihan.
Pelajar berusia 16 tahun tersebut terpaksa menerima rawatan perubatan akibat kesan buruk daripada pengambilan bahan berkenaan. Menurut sumber, pelajar-pelajar lain yang menyaksikan kejadian itu pada pukul 10.30 pagi telah memaklumkan kepada guru, sebelum mangsa dibawa ke klinik kesihatan berdekatan oleh ahli keluarganya.

Mangsa kemudiannya telah dirujuk ke unit kecemasan Hospital Kemaman. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami sawan kritikal yang berpunca daripada pengambilan perisa bahan kimia berbahaya secara berlebihan.
Menurut laporan, pelajar tersebut masih menerima rawatan di hospital berkenaan. Sumber juga menyatakan bahawa aktiviti menghisap vape dalam kalangan pelajar di sekolah tersebut telah dikesan aktif sejak tiga tahun lalu dan berada pada tahap yang membimbangkan.
Susulan kejadian ini, satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa pada hari Jumaat lepas. Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima laporan yang dibuat oleh keluarga mangsa.

