Pelajar tingkatan enam rendah bakal terima baucar buku RM200

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 3:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pelajar tingkatan enam rendah bakal terima baucar buku RM200

SHAH ALAM, 19 NOV: Semua pelajar tingkatan enam rendah bakal menerima baucar buku bernilai RM200 menerusi inisiatif Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI yang dijadual dilaksanakan mulai Januari 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu bertujuan meringankan perbelanjaan pelajar untuk mendapatkan buku rujukan, bahan pembelajaran dan kelengkapan persekolahan.

Menurutnya, baucar berkenaan akan disalurkan dalam bentuk kredit menerusi aplikasi dompet digital NINE yang dibangunkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor.

"Menerusi program ini, setiap pelajar yang terlibat akan menerima kredit RM200 yang dimasukkan terus ke dalam akaun Nine masing-masing.

"Mereka boleh menggunakan kredit itu untuk membeli buku rujukan, bahan pembelajaran, alat tulis dan peralatan persekolahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penyerahan bantuan banjir Yayasan MBI di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid An-Naim, Jalan Kebun di sini, hari ini.

Image from: Pelajar tingkatan enam rendah bakal terima baucar buku RM200
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa banjir di PPS, Masjid An-Naim Jalan Kebun, Klang pada 19 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Azri menjelaskan pembelian menggunakan baucar itu hanya dibenarkan di koperasi atau kedai buku sekolah masing-masing dan tidak boleh digunakan di premis perniagaan luar.

Katanya, pendekatan tersebut turut memberi manfaat kepada pengusaha koperasi serta kedai buku sekolah melalui pembelian barangan keperluan pembelajaran.

"Melalui kaedah ini, manfaat program bukan sahaja diterima pelajar, tetapi turut dapat dirasai koperasi dan kedai buku sekolah menerusi pembelian barangan keperluan pembelajaran.

"Pelajar boleh menggunakan kredit yang diterima untuk mendapatkan keperluan persekolahan masing-masing di premis yang ditetapkan," katanya.

Inisiatif itu merupakan antara usaha Yayasan MBI dalam memperluas sokongan pendidikan menerusi bantuan khusus bagi memenuhi keperluan pembelajaran pelajar.

NINE merupakan aplikasi semua dalam satu (super-app) yang dibangunkan MBI Selangor, merangkumi pelbagai perkhidmatan Kerajaan Negeri termasuk dompet digital, urusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan akses kepada program bantuan negeri.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved