Pelajar UM Maut Terjatuh, Polis Sahkan Tiada Unsur Jenayah

18 Oct 2025 • 3:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Arif Zawir Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Kematian penuntut Universiti Malaya (UM) yang terjatuh dari bangunan Blok Zainab di Kolej Kediaman 13, semalam disahkan berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kecederaan dialami si mati sinonim dengan kesan akibat terjatuh dari tempat tinggi. 

Menurut beliau, hasil bedah siasat turut mendapati tiada tanda-tanda jerutan atau sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa.

“Bedah siasat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bermula jam 10 malam semalam dan selesai sekitar jam 3 pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa, Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, 22, mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dada.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, jenazah mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga pada jam 10 pagi tadi untuk urusan pengebumian.

Terdahulu, Ahmad Arif Zawir dilaporkan ditemui terbaring di tingkat bawah bangunan kolej kediamannya sekitar jam 3.15 petang semalam.

Mangsa yang juga pelajar jurusan Sains Gunaan dengan Pengajian Islam di Akademi Pengajian Islam UM telah dikejarkan ke PPUM untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Pihak pengurusan UM dalam satu kenyataan sebelum ini turut mengesahkan kejadian berkenaan dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. - Getaran, 18 Oktober 2025