
KUALA LUMPUR - Persoalan seorang pelajar Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit mengenai rasuah, skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan sumbangan orang ramai untuk membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta mencetuskan perbincangan mengenai integriti dan keberanian pemimpin mengakui kesalahan.
Dalam sesi dialog anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi itu, Ummi turut mempersoalkan bagaimana generasi pemimpin akan datang boleh dididik supaya berani menentang rasuah dan feudalism, berfikiran kritis serta menyokong hujah dengan fakta dan statistik.
Beliau mengkritik tindakan orang ramai yang menyumbang wang kepada Najib, yang disabitkan dalam kes berkaitan 1MDB, sambil mempersoalkan mesej yang disampaikan kepada generasi muda apabila individu yang berdepan kesalahan rasuah terus mendapat sokongan sedemikian.
“Antara perkara paling tidak masuk akal yang pernah saya lihat dalam hidup ialah orang ramai menderma kepada bekas Perdana Menteri, Najib, sedangkan beliau berdepan kes rasuah serius melibatkan 1MDB dan mempunyai kaitan jelas dengan rasuah,” katanya.
Persoalan itu dikemukakan kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menjadi panel dialog berkenaan.
Mengulas isu itu, Khairy menegaskan bahawa kesalahan tetap perlu diakui sebagai kesalahan tanpa mengira sama ada ia melibatkan pemimpin daripada parti atau kerajaan sendiri.
“Kita tidak sepatutnya takut untuk bercakap mengenai rasuah, walaupun ia melibatkan pemimpin kita sendiri. Apa yang salah tetap salah. Jika sesuatu perkara tidak boleh dipertahankan, jangan pertahankannya. Salah urus tetap salah urus,” katanya.
Beliau berkata, setiap individu yang perlu menjawab dakwaan atau kes tertentu mesti bertanggungjawab dan prinsip integriti tidak boleh dikompromi.
Khairy sebelum ini pernah membangkitkan kebimbangan mengenai kemampuan 1MDB membayar hutangnya ketika skandal itu mula didedahkan.
Bagaimanapun, beliau turut mengulangi penjelasan kerajaan ketika itu bahawa wang AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib merupakan sumbangan politik daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, Khairy kemudiannya menjadi pengkritik terbuka terhadap Najib dan skandal 1MDB.
Sementara itu, Amirudin menyambut baik keprihatinan golongan muda terhadap isu rasuah yang disifatkannya sebagai masalah berpanjangan.
Onn pula menyifatkan rasuah sebagai barah yang menghalang kemajuan, namun menegaskan bahawa usaha membanterasnya perlu dilaksanakan secara adil dan konsisten tanpa menjadikan agensi penguatkuasaan sebagai alat politik.
“Undang-undang mesti dikuatkuasakan tanpa mengira parti politik. Pada pandangan saya, apa yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini merupakan penganiayaan politik dan pendakwaan terpilih,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pemimpin yang mengkhianati amanah melalui rasuah atau penyalahgunaan kuasa tetap perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka.
Dalam sesi dialog sama, pelajar UM, Aiman Izzat Shamsuddin, turut mengemukakan persoalan mengenai keutamaan pemimpin ketika membuat keputusan sukar, sama ada bertindak pantas atau memastikan keputusan yang dibuat benar-benar tepat.
Menjawab persoalan itu, Khairy berkata sebahagian ahli politik cenderung mengelak keputusan sukar kerana bimbang kehilangan sokongan dalam pilihan raya akan datang.
“Ini kerana kita memikirkan pilihan raya akan datang, bukannya generasi akan datang. Itulah cabaran yang dihadapi ahli politik dan kita memerlukan pemimpin yang memikirkan generasi akan datang, bukan sekadar pilihan raya seterusnya,” katanya.
Beliau mengakui bahawa mempertahankan prinsip kepimpinan lebih mudah berbanding melaksanakannya selepas memegang kuasa, terutama apabila berdepan kekangan politik.
Khairy berkata pemimpin perlu bersedia menanggung risiko kehilangan sokongan demi membuat keputusan yang dianggap tepat untuk kepentingan jangka panjang negara.
“Pilih pemimpin yang tidak takut untuk kalah. Saya pernah kalah dan saya tidak takut untuk kalah. Jadi, pilih pemimpin yang tidak takut untuk kalah,” katanya. - Getaran, 16 Oktober 2026


