
PETALING JAYA – DAP menegaskan pendiriannya berhubung isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak dengan menyatakan perjuangan menentang rasuah dan menuntut akauntabiliti dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kekal menjadi pegangan parti itu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pada masa sama parti itu menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“DAP sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan, di samping mempertahankan kedaulatan undang-undang serta perjuangan menentang rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Loke, satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan diadakan esok bagi membincangkan dan memutuskan pendirian serta tindakan susulan parti berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata, DAP sejak awal konsisten menuntut keadilan dan akauntabiliti berhubung skandal 1MDB termasuk memastikan pihak yang bertanggungjawab melalui proses undang-undang secara bebas dan adil.
Katanya, parti itu juga tidak melupakan kemarahan rakyat terhadap skandal berkenaan yang disifatkannya sebagai antara faktor utama membawa kepada perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.
Dalam kenyataan sama, DAP turut mempertahankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berhubung pandangan yang disampaikannya ketika menjalankan tanggungjawab sebagai anggota Lembaga Pengampunan.
Menurut Loke, pendirian dan pandangan Hannah adalah selaras dengan prinsip perjuangan DAP serta disampaikan secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara.
Mengulas skandal 1MDB, beliau berkata, kesan kewangannya masih ditanggung negara dan rakyat sehingga kini.
Berdasarkan angka Kementerian Kewangan (MOF) pada 13 September lalu, keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, merangkumi RM42.5 bilion yang sudah dibayar dan baki hutang RM8.9 bilion.
MOF turut memaklumkan RM31.3 bilion berjaya diperoleh menerusi usaha pemulihan aset, sekali gus menjadikan baki kerugian yang berpotensi ditanggung kerajaan kira-kira RM20 bilion.
Loke berkata, amanah rakyat untuk menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan terus menjadi pegangan DAP. – KOSMO! ONLINE
The post DAP kekal pendirian isu Najib, CEC bermesyuarat esok appeared first on Kosmo Online.





