SETIU - Hasrat murni seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyelamatkan rakannya yang hampir lemas bertukar tragedi apabila dia ditemukan maut dalam kejadian di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong, di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, mangsa, Suraya Hassan, 22, yang berasal dari Batu Pahat, Johor, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu melalui talian MERS 999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Tong digerakkan ke lokasi.
**media[3496234]**
"Siasatan awal mendapati mangsa bersama rakan-rakannya yang juga pelajar UMT Kampus Gong Badak telah ke pusat rekreasi berkenaan untuk berkelah dan mandi-manda.
"Kejadian dipercayai bermula apabila salah seorang rakan mereka dikenali sebagai Adilah hampir lemas. Mangsa (Suraya) bersama seorang lagi rakan, Nur Najwa Farina Mohamed, 25, telah cuba menyelamatkan Adilah.
"Bagaimanapun, dalam usaha menyelamat itu, Suraya telah dihanyutkan arus dan lemas, manakala Nur Najwa Farina pula hampir lemas namun berjaya diselamatkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Mohd Zain berkata, Nur Najwa Farina yang berasal dari Terengganu kini sedang menerima rawatan di Hospital Setiu.
Menurutnya, pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Sri Langkap yang tiba di lokasi mengesahkan kematian Suraya pada jam 2.15 petang.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian," ujarnya.

