
KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya dirempuh sebuah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini, tengah hari tadi.
Menurut laporan BERNAMA, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 1.55 tengah hari itu mengorbankan Syakirah Hanan Mazli, 25, yang berasal dari Ayer Hitam, Johor.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu dari arah UniSZA menghala ke Bukit Kecil telah berhenti di lampu isyarat berdekatan JPJ sebelum dirempuh sebuah kereta Honda Jazz dari arah bertentangan.
Dirempuh Ketika Membelok Ke Kanan
“Apabila lampu isyarat bertukar hijau, mangsa bergerak membelok ke kanan. Namun secara tiba-tiba, sebuah Honda Jazz dari arah bertentangan telah melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kereta Perodua Viva yang dipandunya,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibat perlanggaran itu, Syakirah Hanan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Sementara itu, pemandu Honda Jazz, seorang lelaki berusia 32 tahun, mengalami kecederaan patah tangan dan leher serta kini sedang menerima rawatan di zon kuning Hospital Sultanah Nur Zahirah.
UniSZA Salur Sumbangan Kepada Keluarga Mangsa
Dalam perkembangan berkaitan, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam memaklumkan bahawa mangsa merupakan pelajar semester dua Diploma Pascasiswazah Pendidikan.
Beliau berkata pihak universiti telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM7,200 kepada keluarga mangsa bagi membantu melancarkan urusan pengebumian dan perkara berkaitan.
“Seluruh warga UniSZA amat berdukacita atas pemergian Allahyarhamah dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Pegawai universiti turut bergegas ke hospital sebaik dimaklumkan mengenai kejadian bagi membantu urusan yang perlu,” katanya.
Menurut beliau, sumbangan yang disalurkan merangkumi khairat kematian, insurans kematian takaful serta derma khas daripada pihak UniSZA.
Perkongsian Sahabat Di Media Sosial
Sementara itu, pemergian Allahyarhamah turut mengundang rasa sebak dalam kalangan rakan dan kenalan. Menerusi perkongsian di platform Threads, salah seorang sahabatnya, @fatinsykila menulis, “Perjalanan terakhir seorang bakal bidadari di syurga
. Allah lebih sayangkan mu wahai sahabatku, Allah telah mengangkat setinggi-tinggi darjatmu.”
Dalam satu lagi perkongsian, beliau turut berkongsi beberapa fakta mengenai Allahyarhamah Syakirah Hanan binti Mazli. Allahyarhamah dilahirkan di Johor pada 14 Ogos 2001 dan menetap di Terengganu. Arwah merupakan anak kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jeneris dan pernah tinggal di Kampung Butut, Kuala Berang.
Allahyarhamah juga difahamkan merupakan anak saudara kepada Ustaz Fauzi Yusoh, pensyarah UniSZA. Selain itu, arwah adalah alumni Universiti Al-Azhar, Mesir dari Fakulti Ulum Islamiah dan berjaya memperoleh pangkat Mumtaz Ma’a Murtabat Syaraf (cemerlang dengan kepujian) dengan keputusan 94.94 peratus, sekali gus meraih tempat kedua dalam pengajian tersebut. – The Malaysian Update
The post Pelajar UniSZA Maut Dirempuh Di Persimpangan Lampu Isyarat Berhampiran JPJ appeared first on The Malaysian Update.


