
KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dilaporkan hilang sejak 5 Januari lalu selepas memutuskan hubungan dengan keluarga dan menutup semua akaun media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai.
Perkara itu didedahkan menerusi satu perkongsian di Threads oleh sepupunya, @3jsb_qaisara, yang memaklumkan wanita berusia 23 tahun itu tidak lagi dapat dihubungi sejak tarikh berkenaan.
Menurutnya, mangsa telah keluar daripada kumpulan WhatsApp keluarga, menyahaktifkan media sosial serta tidak hadir ke kelas sejak semester baharu bermula, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.
“Last dia keluar naik Grab, tak tahu pergi mana. Kalau sesiapa nampak, boleh tolong PM dan bagitahu,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Jejak Terakhir Dikesan Ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS)
Dalam satu kemas kini, keluarga memaklumkan pemandu Grab yang membawa mangsa kali terakhir menurunkannya di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Difahamkan, apabila ditanya mengenai destinasi seterusnya, mangsa memaklumkan mahu ke Johor sebelum terus gagal dikesan sehingga kini.
Susulan itu, satu lagi perkongsian dibuat oleh @fahimzahar, yang juga abang kepada @3jsb_qaisara, memohon bantuan orang ramai untuk menyebarkan maklumat berkenaan kehilangan sepupunya.
Mangsa dikenali sebagai Nurul Ain Hannani, berusia 23 tahun dan merupakan pelajar Universiti Poly-Tech Malaysia. Lokasi terakhir dikesan adalah di The Sky Residensi, Taman Shamelin, sebelum keluar rumah pada 5 Januari 2026 hanya dengan membawa telefon bimbit dan sebuah komputer riba.
Antara ciri-ciri mangsa ialah berketinggian sekitar 165 sentimeter atau lebih serta berbadan besar.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi keluarga melalui talian 017-7111224 (Zulfah) atau 014-7170490 (Fiza).
Doa Dan Harapan Warganet
Di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan kebimbangan dan berharap mangsa berada dalam keadaan selamat. Ada yang berpendapat kemungkinan mangsa mengambil masa untuk menenangkan diri akibat tekanan, namun mengakui tindakan menghilang tanpa khabar telah menimbulkan kerisauan keluarga.
“Harap dia selamat di mana pun dia berada. Kalau sampai keluar group family dan deactivate socmed, semoga cuma perlukan masa sendiri,” komen seorang pengguna.
Dalam masa sama, ada juga yang menyeru agar mangsa segera pulang atau sekurang-kurangnya menghubungi keluarga bagi menenangkan hati mereka yang sedang risau.
Sehingga kini, usaha mengesan Nurul Ain Hannani masih diteruskan dan keluarga amat menghargai bantuan serta doa daripada orang ramai.
Kemas Kini: Mangsa Ditemui Selamat
Perkembangan terbaharu dimaklumkan menerusi ruangan komen di laman TikTok rasmi The Malaysian Update apabila seorang pengguna, @Qistina Farihin, memaklumkan bahawa mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat di Permas Jaya, Johor Bahru. Menurutnya, sepupunya ditemui dengan bantuan pihak polis dan berada dalam keadaan ketakutan serta kelihatan pucat. “Dia menangis dan mahu pulang apabila pegawai bertanya sama ada dia ingin balik atau tidak. Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak polis yang terlibat serta semua yang membantu dan mendoakan,” katanya.
Sementara itu, satu lagi kemas kini rasmi turut dikongsikan oleh @3jsb_qaisara yang memaklumkan bahawa sepupunya telah dijumpai dengan selamat di Permas Jaya, Johor Bahru dan kini berada di bawah perhatian pihak berkuasa. Menurutnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian. Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin, membantu serta mendoakan keselamatan sepupunya sepanjang tempoh kehilangan tersebut. – The Malaysian Update
The post Pelajar UPTM Hilang Sejak 5 Januari, Jejak Terakhir Dikesan Di TBS appeared first on The Malaysian Update.


