Pelajar UTP maut, tiga rakan cedera kereta terbabas

11 Nov 2024 • 10:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang pelajar UTP disahkan maut selepas kereta dinaiki terbabas di Seri Iskandar, Parit pada malam Ahad. Foto ihsan Bomba Perak

image is not available
Pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa yang terselamat dalam kemalangan di Seri Iskandar pada Sabtu. Foto: ihsan Bomba Perak

PARIT - Seorang pelajar lelaki Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut selepas kereta dinaiki bersama tiga rakannya terbabas berhampiran sebuah pasar raya di Seri Iskandar di sini pada Ahad.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 19 tahun berasal dari Sabah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya dilaporkan mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.19 malam.

Menurut beliau, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

"Setibanya di lokasi kemalangan, didapati sebuah kereta telah terbabas ke bahu jalan namun tiada mangsa yang tersepit.

"Nahas melibatkan empat orang mangsa berusia 19 tahun yang mana tiga mangsa cedera ringan dan seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya di sini pada Isnin.

Menurutnya, rawatan awal diberikan kepada tiga mangsa yang cedera sebelum mereka dihantar ke Hospital Changkat Melintang menggunakan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 8.49 malam," katanya.