
KUALA LUMPUR: Pemergian pelakon berbakat, Along Eyzendy terus dirasai ramai apabila rakan artis serta peminat berkongsi kenangan terakhir bersama Allahyarham di media sosial.
Terbaharu, pelawak Fad Bocey memuat naik satu video kenangan bersama arwah yang menyentuh hati, disertakan kapsyen doa:
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.
Allahummaghfir lahu warhamhu wa ‘afihi wa’fu ‘anhu.”
Menurut Fad, pertemuan tersebut menjadi detik paling bermakna apabila mereka berpeluang berbual panjang hampir dua jam, daripada sekadar tumpang kereta sehinggalah membawa kepada sesi sembang santai di rumah arwah.
“Kali pertama dapat borak lama dengan Along. Edit video ni pun sambil nangis sebab masih terngiang-ngiang suara dia, nasihat dan gurau senda. Banyak borak pasal kehidupan, bukan pasal industri,” tulisnya.
Tambah Fad lagi, dia berasa seolah-olah sudah lama mengenali arwah meskipun pertemuan rapat itu baru pertama kali berlaku.
“Rasa macam dah rapat berpuluh tahun… rehatlah ye Long. Along orang hebat dan kuat,” katanya.
Netizen Kongsi Kenangan, Doa Mengiringi
Perkongsian tersebut nyata mengundang sebak dalam kalangan netizen yang turut membanjiri ruangan komen dengan ucapan takziah serta doa buat Allahyarham. Rata-rata menyifatkan arwah sebagai seorang insan yang baik, tidak pernah menimbulkan sebarang isu dan sentiasa komited terhadap kerjanya.
Malah, ramai memuji mutu lakonan arwah yang disifatkan mantap dan penuh penghayatan. Ada juga yang mengakui sudah dapat melihat keadaan kesihatan arwah yang semakin merosot sejak kebelakangan ini, sekali gus membuatkan mereka lebih tersentuh dengan pemergian tersebut.
Semua berharap agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Terdahulu, Along dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah kira-kira jam 12.16 pagi Ahad di sisi isteri dan ahli keluarga.
Khabar duka itu disahkan isterinya, Hamidah Mohd Yatim, manakala beberapa rakan selebriti turut berkongsi detik sempat menziarahi arwah di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum pemergiannya.
Pada Khamis lalu, Allahyarham dilaporkan terpaksa ditidurkan akibat pendarahan serius dalam perut selepas mengalami demam dan batuk berpanjangan, dipercayai berpunca daripada jangkitan pada stent saluran hempedu.
Anak kelahiran Ipoh, Perak itu memulakan kerjaya sebagai peniup trumpet sebelum menceburi bidang lakonan sekitar 2003. Sepanjang perjalanan seni, arwah membintangi pelbagai filem dan drama popular seperti Lagenda Budak Hostel, Khurafat: Perjanjian Syaitan, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang, Mat Moto serta beberapa drama bersiri tempatan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata.
Pemergiannya disifatkan satu kehilangan besar buat industri seni tanah air. Salam takziah buat keluarga. Al-Fatihah. – The Malaysian Update
The post Pelakon Along Eyzendy Meninggal Dunia, Perkongsian Fad Bocey Undang Sebak Netizen appeared first on The Malaysian Update.


