
JAKARTA – Seorang pelakon di Indonesia menjadi sensasi internet apabila mendakwa Malaysia tidak akan wujud tanpa negara itu susulan seruan boikot akibat satu hantaran yang menyindir beberapa negara jiran termasuk Singapura.
Sebahagian rakyat Malaysia menyeru untuk memboikot produk penjagaan kulit dari Indonesia, Kahf dan Wardah.
Kontroversi itu tercetus selepas akaun rasmi Kahf di platform Threads memuat naik imej yang memaparkan tulisan ‘Hati-Hati Beda Level’ dengan bendera Indonesia diletakkan di bahagian atas, manakala bendera beberapa negara Asia Tenggara berada di bawah.
Susulan kontroversi tersebut, pelakon Indonesia bernama Boy Hamzah menyatakan bahawa tindakan boikot tidak akan memberi kesan kepada jenama terbabit.
Dia turut membandingkan penduduk di Malaysia yang berjumlah sekitar 34 juta orang, manakala Indonesia menempatkan kira-kira 288.5 juta penduduk.
“Kamu sudah kalah, Sejak awal lagi, nenek moyang kamu diperintah oleh orang yang berasal dari Indonesia. Jika Sultan Iskandar Syah tidak datang ke Tanah Melayu dan jika Malaysia tidak dijajah British, kamu hanya akan menjadi etnik biasa yang hidup secara berkelompok,” katanya.
Dia juga menuduh rakyat Malaysia berasa cemburu dan iri hati terhadap sejarah dan kekayaan semula jadi Indonesia.
“Kamu sentiasa iri hati dengan sejarah serta kekayaan semula jadi Indonesia. Hakikatnya, kamu tidak akan wujud tanpa Indonesia,” tambahnya. – AGENSI
The post Pelakon dakwa Malaysia tidak akan wujud tanpa Indonesia appeared first on Kosmo Online.





![“Malaysia Tak Akan Pernah Wujud Tanpa Indonesia” – Kenyataan Aktor Indo Undang Kecaman Netizen [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/reaksi-netizen-terhadap-video-Boy-Hamzah-884x1024.jpeg?t=1791429136)