
KUALA LUMPUR, 23 Julai — Dunia seni tanah air diselubungi kesedihan apabila pelakon dan pengacara, Nur Lydia Ibtisam Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Lydia Ibtisam, disahkan meninggal dunia pada petang Khamis selepas sekian lama bertarung dengan penyakit autoimun.
Berita pemergian Allahyarhamah dikongsikan pelakon Mimi Ernida menerusi hantaran di Threads.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Nur Ibtisam Bt Abdul Wahab (Lydia Ibtisam) baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi. Al-Fatihah.”
Perkhabaran itu turut dikongsikan beberapa rakan artis dan mengundang rasa sedih dalam kalangan peminat yang membanjiri media sosial dengan ucapan takziah.
Bertarung Dengan Penyakit Autoimun Sejak Lapan Tahun
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Lydia dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami jangkitan kuman yang menyebabkan beberapa organ dalamannya gagal berfungsi dengan baik.
Menurut sahabat baiknya, penyanyi dan pelakon Elliza Razak, Allahyarhamah telah lama menghidap penyakit autoimun sejak kira-kira lapan tahun lalu.
Keadaan kesihatannya semakin merosot apabila penyakit tersebut menyerang buah pinggang, selain mengalami jangkitan virus pada bahagian perut, paru-paru dan aliran darah sehingga memerlukan rawatan rapi di hospital.
Sebelum ini, Elliza turut merayu orang ramai agar mendoakan kesihatan Lydia selepas doktor memaklumkan keadaannya semakin kritikal.
Pernah Menyerlah Dalam Dunia Lakonan
Lydia merupakan antara pelakon yang dikenali sekitar awal tahun 2000-an menerusi beberapa drama televisyen popular.
Antara naskhah yang pernah menampilkan beliau termasuk Impian Illyana, Dunia Anita, Realiti dan Natasha. Selain berlakon, beliau juga pernah bergelar pengacara televisyen.
Sepanjang bergelar anak seni, Lydia dikenali sebagai seorang yang ramah dan disenangi rakan-rakan industri.
Tinggalkan Suami Dan Dua Cahaya Mata
Pemergian Allahyarhamah meninggalkan suami, Ezam Merican, serta dua orang cahaya mata.
Jenazah Allahyarhamah dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang untuk urusan pengebumian.
Ucapan takziah terus membanjiri media sosial daripada rakan artis dan peminat yang menyifatkan pemergian Lydia sebagai satu kehilangan besar buat industri hiburan tanah air.
Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarhamah, melapangkan kuburnya serta menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. – The Malaysian Update
The post Pelakon Impian Illyana Lydia Ibtisam Meninggal Dunia appeared first on The Malaysian Update.






