
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular mengenai pelakon wanita, Nadia Kesuma yang dilaporkan gagal dikesan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Perkara itu diketahui selepas dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga pelakon, Anne Abdullah.
Tak naiki pesawat untuk ke London
Jelas Anne yang merupakan Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), aktres wanita yang juga pelakon filem Syaitan Munafik dan Gerak Khas itu telah menaiki penerbangan menerusi satu syarikat agensi pelancongan dalam pakej umrah khas ke Tanah Suci termasuk London.
Sebaik sampai di Jeddah, pelakon itu telah menghantar mesej kepada suami memaklumkan dia selamat tiba dan perlu menaiki semula pesawat untuk ke London. Namun pihak agensi pelancongan memaklumkan Nadia Kesuma tidak menaiki pesawat ke London.
Beritahu suami berjumpa orang tak dikenali, tiada respon
Jelas Anne lagi, mereka tidak menolak kemungkinan Nadia berdepan dengan masalah sewaktu turun di lapangan berkenaan.
“Tapi sebelum itu dia ada mesej pada suaminya, dia kata macam “I met stranger” (jumpa orang yang tidak dikenali) lepas itu terus tiada berita. Sekarang ini kedua-dua handphonenya ‘delivered’ tapi dia tidak respon.
“Sejak semalam suami bimbang dan menghubungi saya. Saya pula terkejut kerana ingatkan dia pergi dengan suaminya. Rupanya dia pergi sendiri dengan agensi pelancongan.
“Pakej yang dia ambil itu ialah umrah ziarah, seperti pakej pergi ke Paris dengan London. Dia akan pergi ke Jeddah, Makkah, Paris, London. Sekarang banyak orang buat seperti itu,” kata Anne, dipetik Harian Metro.
Bagasi Nadia ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz
Dalam satu perkembangan terbaharu, bagasi tangan milik Nadia Kesuma telah ditemui di lapangan terbang berkenaan namun sosoknya masih lagi belum berjaya dikesan.
Jelas Anne, penemuan beg itu menguatkan kebimbangan kerana aktres itu sepatutnya membawa sendiri bagasi tersebut sebagai ‘hand carry’ sewaktu transit sebelum menaiki pesawat seterusnya ke London.
“Saya difahamkan sekarang ni kita dah jumpa beg dia, ‘hand luggage’ dah jumpa, jumpa di lapangan terbang Jeddah. Beg ada, tapi dia tak ada. Diri dia tak ada.
“Difahamkan, beg berwarna merah itu ditemui malam tadi oleh pihak berkaitan di sana (Jeddah),” ujarnya, lapor Berita Harian
Nadia dilaporkan tiba di Jeddah sekitar jam 6 pagi
Menurutnya lagi, Nadia telah tiba di Jeddah kira-kira jam 6 pagi dan dijadualkan untuk menaiki pesawat transit ke London pada dua jam yang berikutnya.
Dalam tempoh transit itu, penumpang bebas melakukan aktiviti masing-masing seperti makan atau menunaikan solat sebelum berkumpul semula di pintu pelepasan.
Namun sewaktu pemeriksaan yang dibuat agensi pelancongan, Nadia tidak berada di pintu tersebut serta tidak dapat dikesan meskipun pengumuman telah dibuat beberapa kali di lapangan tersebut.
Menurutnya, kali terakhir dia berhubung dengan Nadia adalah pagi kejadian apabila pelakon terbabit memaklumkan selamat tiba di Jeddah namun tiada lagi sebarang komunikasi selepas itu.
Laporan polis hanya boleh dibuat selepas 24 jam
Anne turut memaklumkan proses membuat laporan polis hanya boleh dibuat selepas 24 jam, dan perkara itu menyebabkan tindakan lanjut untuk membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang terbabit tidak dapat dibuat lebih awal.
“Sebaik sahaja kita dapat laporan polis, kita akan hantar ke Wisma Putra untuk mereka bertindak,” jelasnya.
Syarikat agensi pelancongan tampil beri penjelasan
Menerusi satu hantaran syarikat agensi pelancongan, Nuh Travel and Tours Sdn Bhd di Facebook, Nadia telah menyertai Pakej Umrah Ziarah London & Paris bersama 21 orang jemaah lain.
“Pihak agensi tersebut telah menguruskan proses daftar masuk (check-in) dan mengeluarkan dua pas masuk penerbangan (boarding pass) kepada beliau, masing-masing bagi sektor Kuala Lumpur – Jeddah dan Jeddah – Heathrow (London).
“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah bagi tujuan transit sementara sebelum meneruskan penerbangan ke London, semua jemaah termasuk Nadiah diberikan taklimat oleh ketua rombongan Nuh Travel.
“Jemaah dimaklumkan untuk berkumpul semula di lokasi yang ditetapkan selepas selesai urusan peribadi seperti ke tandas dan berehat.
“Namun demikian, ketika semua jemaah berkumpul dan beratur untuk penerbangan seterusnya ke London, Nadia tidak berada bersama kumpulan,” ujar agensi itu.
Tindakan pantas terus diambil untuk mengesan Nadia
Perkara itu kemudiannya telah dimaklumkan segera kepada Ibu Pejabat Nuh Travel di Malaysia dan tindakan pantas telah diambil untuk menghubungi petugas agensi tersebut di Mekah serta Jeddah.
Selain itu, pihak agensi turut memaklumkan kepada suami pelakon wanita berkenaan serta pihak muassasah di Arab Saudi.
“Usaha pencarian telah digerakkan secara berterusan dengan kerjasama pihak berkuasa dan pengurusan Lapangan Terbang Jeddah.
“Percubaan untuk menghubungi telefon bimbit beliau juga telah dibuat, namun tiada sebarang jawapan dan mesej yang dihantar masih belum dibaca setakat ini. Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, Nadia masih belum dapat dikesan dan pihak kami terus komited menjalankan usaha pencarian secara aktif bersama pihak berkuasa di Arab Saudi.
“Sehubungan itu, pihak Nuh Travel dengan rendah hati memohon agar tiada sebarang spekulasi atau kenyataan tidak sahih disebarkan kerana ia boleh mengganggu proses siasatan dan pencarian yang sedang dijalankan.
“Kami juga memohon doa daripada semua pihak agar beliau dapat ditemui dengan segera dan berada dalam keadaan selamat.”

