
CHENNAI – Bintang filem terkenal India, C. Joseph Vijay secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu pada Ahad selepas parti pimpinannya berjaya membentuk kerajaan gabungan di negeri itu.
Upacara penuh bersejarah itu berlangsung di Stadium Jawaharlal Nehru, Chennai dengan kehadiran ribuan penyokong yang membanjiri lokasi sambil melaungkan “Mudhalvar”, gelaran bagi Ketua Menteri dalam bahasa Tamil.
Parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) yang diasaskan Vijay kira-kira dua tahun lalu muncul sebagai parti terbesar dalam pilihan raya negeri apabila menguasai 108 kerusi Dewan Undangan Negeri Tamil Nadu yang mempunyai 234 kerusi keseluruhan.
Sokongan Gabungan Buka Laluan Ke Putrajaya Tamil Nadu
Walaupun gagal memperoleh majoriti mudah secara bersendirian, TVK berjaya mendapatkan sokongan beberapa parti lain termasuk Congress sekali gus membolehkan gabungan dipimpin Vijay mengumpul 120 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Menteri, Vijay menegaskan beliau mahu memberi tumpuan terhadap isu asas rakyat termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, bekalan air bersih, jalan raya serta pengangkutan awam.
“Saya bukan datang daripada keluarga politik ternama. Saya hanyalah rakyat biasa,” katanya di hadapan penyokong yang hadir.
Beliau turut mengumumkan langkah awal pentadbirannya termasuk usaha mengurangkan tarif elektrik dan memperkukuhkan aspek keselamatan wanita di negeri tersebut.
Perdana Menteri India, Narendra Modi turut mengucapkan tahniah kepada Vijay dan menyatakan komitmen kerajaan pusat untuk bekerjasama demi kesejahteraan rakyat Tamil Nadu.
Dari Dunia Perfileman Ke Pentas Politik
Dilahirkan dalam keluarga beragama Kristian dan Hindu, Vijay memulakan kerjaya seni sebagai pelakon kanak-kanak pada tahun 1984 sebelum muncul antara aktor paling berpengaruh di India Selatan.
Gelaran “Thalapathy” yang membawa maksud pemimpin diberikan peminat susulan pengaruh besar serta popularitinya menerusi filem-filem pecah panggung yang sering mengetengahkan isu rakyat dan keadilan sosial.
Tamil Nadu sendiri merupakan antara negeri paling penting dalam ekonomi India dengan sektor pembuatan besar melibatkan industri automotif, elektronik dan pengeluaran iPhone.
Kemenangan TVK kali ini sekali gus menamatkan dominasi parti-parti tradisional yang menguasai politik Tamil Nadu sejak akhir 1960-an.
Pemerhati politik melihat gabungan pengaruh besar peminat serta sokongan golongan muda menjadi faktor utama kejayaan luar biasa Vijay dalam pilihan raya kali ini.
Walaupun pernah berdepan tragedi rempuhan maut ketika kempen pilihan raya September lalu yang mengorbankan 40 individu, populariti beliau dilihat kekal kukuh dan tidak terjejas. – The Malaysian Update
The post Pelakon Popular Vijay Angkat Sumpah Ketua Menteri Tamil Nadu appeared first on The Malaysian Update.
