
Chandrasekar Joseph Vijay hari ini secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri baharu Tamil Nadu selepas berjaya memperoleh sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Tamil Nadu.
Menurut laporan The Times of India, majlis angkat sumpah berlangsung di Stadium Jawaharlal Nehru, Chennai pada Ahad selepas parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) berjaya membentuk kerajaan negeri.
Pelakon berusia 51 tahun itu mengambil masa lima hari, termasuk empat pertemuan dengan Gabenor Tamil Nadu, Rajendra Vishwanath Arlekar, selain mengadakan rundingan berterusan dengan beberapa parti sekutu bagi mencapai angka majoriti mudah 118 kerusi.
Dalam pilihan raya negeri bulan lalu, TVK memenangi 108 daripada 234 kerusi dipertandingkan.
Pada Sabtu, Vijay dilaporkan menyerahkan surat sokongan kepada gabenor membabitkan lima Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Kongres, dua wakil Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK), serta masing-masing dua wakil daripada Communist Party of India (CPI), Communist Party of India (Marxist) (CPI-M) dan Indian Union Muslim League (IUML).
Baca juga:
Vijay angkat sumpah Ketua Menteri Tamil Nadu
Dua rakyat Singapura dikuarantin susulan wabak hantavirus kapal persiaran
Pemilik hotel dibaham buaya, enam pasang kasut dalam perut haiwan timbul kejutan
Memandangkan Vijay memenangi dua kerusi dalam pilihan raya tersebut dan perlu mengosongkan satu daripadanya, gabungan itu kini mempunyai kekuatan 120 Ahli Dewan Undangan Negeri.
Kemenangan TVK dianggap bersejarah kerana berjaya menamatkan dominasi politik dua parti utama Tamil Nadu, DMK dan AIADMK, yang menguasai negeri itu selama hampir enam dekad.
Kerajaan pimpinan Vijay juga menjadi kerajaan pertama di Tamil Nadu dalam tempoh hampir 60 tahun yang bukan diterajui sama ada DMK atau AIADMK.
LIVE | TVK chief #Vijay takes oath as #TamilNadu CM #TVK #TamilNaduCMOath #Vijay #Thalapathy #Chennai pic.twitter.com/RWh10oTy2p
— The Times Of India (@timesofindia) May 10, 2026
Dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Menteri, Vijay dilaporkan berjanji untuk membentuk pentadbiran yang telus selain memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, peluang pekerjaan golongan belia dan pembangunan ekonomi negeri. Ribuan penyokong TVK turut membanjiri sekitar lokasi majlis angkat sumpah bagi meraikan kemenangan parti itu manakala kawalan keselamatan diperketatkan pihak berkuasa tempatan.
The post Vijay angkat sumpah Ketua Menteri Tamil Nadu appeared first on The Reporter.
