Pelakon wanita, suami direman kes tipu pelaburan jual lembu

LocalEntertainment
9 Mar 2026 • 3:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sazalee

KUALA LUMPUR - Seorang pelakon wanita dan suaminya yang ditahan semula oleh polis direman bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan membabitkan penjualan lembu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kedua-duanya direman bermula Isnin.

“Suspek lelaki direman selama tiga hari sehingga Rabu ini, manakala wanita itu pula direman sehari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus sebelum itu dilaporkan berkata, pasangan berkenaan ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi siasatan kes terbabit.

Rabu lalu, pasangan itu ditahan di tempat persembunyian di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor.

Ia susulan seorang ahli perniagaan lelaki berusia 56 tahun membuat laporan polis di daerah Seremban selepas dikatakan ditipu dalam urusan penjualan lot tanah kurnia di Selangor dengan kerugian mencecah RM1.5 juta.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim dilaporkan berkata, pasangan terbabit telah direman tiga hari sehingga 7 Mac bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Reman pasangan itu kemudian disambung sehari lagi bagi melengkapkan siasatan.

Selain itu, pasangan tersebut turut disiasat bagi kes penipuan darjah kebesaran yang membabitkan kerugian kira-kira RM23,000.

Azahar berkata, pihak polis daerah itu menerima satu laporan berhubung kes berkenaan pada 18 Disember tahun lalu.