Pelakon wanita, suami ditahan lagi kes tipu pelaburan jual lembu

LocalPolitics
9 Mar 2026 • 8:57 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fadil

KUALA LUMPUR - Polis menahan semula pelakon wanita dan suaminya bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan membabitkan penjualan lembu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pasangan itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

"Pelakon dan suaminya telah ditangkap oleh BSJK IPD Dang Wangi berkaitan pelaburan dalam penjualan lembu.

"Kedua-dua mereka akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Rabu lalu, pasangan itu ditahan di tempat persembunyian di sebuah madrasah tahfiz Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor.

Penahanan itu susulan laporan polis dibuat seorang ahli perniagaan lelaki berusia 56 tahun di Seremban selepas mendakwa ditipu dalam urusan penjualan lot tanah kurnia di Selangor membabitkan kerugian kira-kira RM1.5 juta.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim dilaporkan berkata, pasangan terbabit telah direman tiga hari sehingga 7 Mac untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan, pelakon wanita dan suaminya turut disiasat bagi kes penipuan darjah kebesaran membabitkan kerugian kira-kira RM23,000.

Menurut Azahar, polis daerah itu menerima satu laporan berkaitan kes berkenaan pada 18 Disember tahun lalu.

Reman pasangan itu kemudian disambung sehari lagi untuk melengkapkan siasatan.