Pelaksanaan Belanjawan 2027 perlu cekap, tidak boleh lembap – PM

LocalPolitics
19 Oct 2026 • 1:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelaksanaan Belanjawan 2027 perlu cekap, tidak boleh lembap – PM

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Belanjawan 2027 disifatkan perlu dilaksanakan secara cekap dan berkesan bagi memastikan setiap dasar serta bantuan yang diumumkan kerajaan mampu memberi manfaat secara menyeluruh kepada golongan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan yang dirangka perlu disusuli dengan pelaksanaan berkesan bagi memastikan setiap program dan dasar diputuskan kerajaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Jadi rumusnya apa? Belanjawan boleh dilakar, tetapi cabarannya ialah pelaksanaannya.

“Bagaimana kita boleh terus selamatkan negara, elakkan ketirisan, amalan rasuah, kemalasan dan lembap pelaksanaan ya. Dan program-program yang diputuskan, dasar-dasar dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut melaksanakan beberapa inisiatif segera selepas pembentangan Belanjawan 2027 dibentangkan bagi memastikan rakyat menikmati manfaat secara menyeluruh.

Katanya, inisiatif segera itu termasuk pembukaan pendaftaran rumah di Bandar Madani, Bukit Jalil oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selain penyaluran bantuan RM1,000 kepada setiap pemandu teksi oleh Kementerian Pengangkutan.

Beliau berkata, bantuan kepada pemandu teksi menggunakan hasil daripada pengenalan nombor pendaftaran kenderaan istimewa yang dilaksanakan secara telus sebelum hasilnya dipulangkan kepada golongan berkenaan.

“Kerajaan turut mempercepat pembangunan 10,000 unit kediaman asrama mahasiswa di Universiti Malaya bagi menangani masalah perumahan dalam kalangan penuntut universiti.

“Saya juga meminta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyegerakan proses kelulusan projek berkenaan bagi memastikan usaha menangani isu perumahan mahasiswa dapat dilaksanakan segera.

“Ini makna langkah-langkah diambil segera dan saya percaya Insya-Allah kalau dengan semangat yang ada, Ketua Setiausaha Negara akan adakan mesyuarat untuk memantau bersama dengan semua Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah supaya langkah-langkah pelaksanaan diambil,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut menegur golongan penjawat awam untuk segera melaksanakan tugas bagi membolehkan setiap urusan dapat disiapkan dengan kadar segera.

“Kalau upah dah naik, minyak dah turun, ekonomi katanya begini, kita tidak bersyukur, kerja masih lembap, masih lambat, surat boleh dijawab satu hari dia ambil masa dua minggu, itu memang penyakit lah tu,” tegasnya. – UTUSAN

The post Pelaksanaan Belanjawan 2027 perlu cekap, tidak boleh lembap – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved