
SHAH ALAM, 19 OKT: Pelaksanaan Pelan Medi Asas mulai Januari 2027 berpotensi meringankan beban kos rawatan dan memendekkan tempoh menunggu pesakit, namun empat cabaran utama perlu ditangani bagi memastikan keberkesanannya.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Aidalina Mahmud berkata pelan itu mampu membantu peserta menanggung bil rawatan yang dilindungi ketika kos insurans perubatan terus meningkat.
“Namun, kemampuan membeli premium insurans belum tentu bermakna seseorang mampu mendapatkan rawatan. Pelan ini bagaimanapun boleh membantu mengurangkan rawatan yang tertangguh dan beban kewangan pesakit,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Menurutnya, pesakit yang menjalani pembedahan di hospital swasta turut membolehkan slot dewan bedah, katil dan masa petugas hospital kerajaan dimanfaatkan pesakit lain, sekali gus mempercepat akses rawatan golongan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, Pensyarah Perubatan Kanan Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan itu menegaskan empat cabaran perlu diberi perhatian meliputi kemampuan kewangan, akses perkhidmatan, kefahaman pengguna serta tadbir urus dan penyelarasan.
“Pertama, kemampuan mengekalkan polisi dan membayar rawatan kerana premium boleh berubah mengikut umur. Kedua, akses perkhidmatan kerana perlindungan insurans hanya berguna jika hospital yang sesuai dapat dicapai dengan jarak perjalanan dan kos sampingan berbeza.
“Ketiga, pengguna juga perlu memahami perkara yang dilindungi, dikecualikan dan jumlah bayaran sendiri. Akhir sekali, hospital serta syarikat insurans perlu menyediakan proses kelulusan, pembayaran dan rayuan yang jelas serta tepat pada masanya,” katanya.
Menurut Dr Aidalina, Pelan Medi Asas juga akan menggunakan sistem digital yang tertentu yang membolehkan kod diberikan kepada penyakit dirawat sebelum menentukan caj rawatan yang dikenakan kepada pihak insurans.
Beliau menambah, audit pengekodan dan tuntutan perlu dilaksanakan bagi memastikan bayaran sepadan dengan kes yang dirawat dan keadaan pesakit selepas keluar hospital perlu dipantau antaranya kadar komplikasi, pemulihan dan pengalaman pesakit.
Dr Aidalina berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan Pelan Medi Asas bukan sahaja membantu peserta mengekalkan perlindungan ketika menghadapi kesukaran kewangan sementara malah mampu memberikan akses kepada rawatan berkualiti dalam jangka panjang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 berkata Pelan Medi Asas akan dilancarkan mulai Januari 2027 pada harga mampu milik dengan bayaran hospital mengikut diagnosis dan rawatan bagi mengawal kos perubatan.
Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bawah 55 tahun boleh menggunakan Akaun Sejahtera untuk premium Pelan Medi Asas manakala kerajaan memberi subsidi RM200 tahun pertama bagi 50 pekerja setiap syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kurang 75 pekerja, memanfaatkan sehingga 200,000 pekerja.




