Pelaksanaan Penuh MyDigital ID Bagi Log Masuk MyJPJ Berkuat Kuasa 1 Mei 2026

LocalTechnology
29 Apr 2026 • 4:36 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pelaksanaan Penuh MyDigital ID Bagi Log Masuk MyJPJ Berkuat Kuasa 1 Mei 2026

Tiada lagi penangguhan sebaliknya JPJ kini mengesahkan bahawa sistem log masuk tunggal (Single Sign-On) bagi aplikasi MyJPJ menggunakan MyDigital ID akan dilaksanakan sepenuhnya pada tarikh yang telah ditetapkan mulai 1 Mei 2026.

Image from: Pelaksanaan Penuh MyDigital ID Bagi Log Masuk MyJPJ Berkuat Kuasa 1 Mei 2026

Ini bermakna semua pengguna perlu menggunakan MyDigital ID untuk mengakses aplikasi berkenaan pada tarikh tersebut. Pengumuman rasmi ini dibuat melalui kemas kini terkini di laman Facebook JPJ sebentar tadi sekali gus menandakan pelaksanaan sistem baharu ini sememangnya akan berkuat kuasa tanpa sebarang penundaan lagi selepas dua kali ditangguhkan sejak Februari lalu.

Image from: Pelaksanaan Penuh MyDigital ID Bagi Log Masuk MyJPJ Berkuat Kuasa 1 Mei 2026

Tujuan utama pelaksanaan adalah untuk memperkukuh keselamatan siber di samping memudahkan akses pengguna kepada pelbagai perkhidmatan JPJ melalui satu identiti digital yang sah serta diiktiraf. Pada masa yang sama, aplikasi MyJPJ turut menerima kemas kini dengan rekaan antaramuka baharu yang lebih moden dan mesra pengguna.

Image from: Pelaksanaan Penuh MyDigital ID Bagi Log Masuk MyJPJ Berkuat Kuasa 1 Mei 2026

Versi terbaharu ini hadir bersama ciri tambahan seperti integrasi MyDigital ID untuk log masuk tunggal, fungsi mod tetamu tanpa perlu log masuk, chatbot pintar yang tersedia sepanjang masa serta gabungan perkhidmatan JPJeBid dan JPJeQ dalam satu platform.

Sehubungan dengan itu, semua pengguna MyJPJ berumur 12 tahun ke atas digalakkan untuk mendaftar dan mengaktifkan MyDigital ID selaras dengan pelaksanaan penuh sistem ini. Bagi pengguna pemegang MyPR, kaedah log masuk sedia ada akan terus disediakan melalui saluran alternatif yang ditetapkan.