Pelaksanaan rangka kerja akses pihak ketiga tidak beri kesan kepada TNB, kata RHB Investment
azan
05/06/2024 - 18:03
KUALA LUMPUR 5 Jun - Pelaksanaan rangka kerja akses pihak ketiga (TPA) dijangka tidak memberi kesan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang merupakan penyedia elektrik tinggal negara, kata RHB Investment.
Katanya, TPA dijangka dilaksanakan pada September 2024 dan membolehkan pengeluar tenaga boleh diperbaharui (RE) menggunakan grid elektrik nasional bagi menyampaikan tenaga hijau mereka kepada pelanggan di negara ini.
Firma penyelidikan itu berkata, TNB masih memiliki infrastruktur tersebut dan mungkin terpaksa mengeluarkan perbelanjaan modal (capex) untuk menaik taraf dan gergasi utiliti itu juga akan mengenakan bayaran kepada pengeluar kuasa bebas untuk menggunakan infrastruktur gridnya.
“Impak rangka kerja TPA pada bahagian penghantaran dan pengedaran (T&D) TNB juga akan menjadi neutral, dengan mengandaikan penggunaan aset T&D akan diberi pampasan secara adil,” katanya dalam satu nota kajian.
RHB Investment berkata, kapasiti semasa RE TNB sebahagian besarnya kekal tidak berubah sebanyak 4.3 gigawatt (GW) atau kira-kira 20% daripada jumlah kapasiti.
“Pada masa ini terdapat 6.2GW RE dalam kapasiti terjamin – termasuk dalam peringkat pembinaan dan pembangunan. Keputusan Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) untuk 2025-2027 berkemungkinan diketahui pada penghujung 2024,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM16.10 sesaham. Mereka percaya bahawa TNB akan terus menerima manfaat daripada peningkatan berterusan asset T&D dengan permintaan tenaga disokong pembangunan pusat data.
Sementara itu, MIDF Research berkata, TPA itu meungkin menjana pendapatan secara terkawal tetapi akan membawa kepada lebih banyak persaingan dalam segmen penjanaan kepada TNB.
Katanya, penilaian TNB telah mendahului asas pada ketika ini dan sebarang perbelanjaan modal yang lebih lemah daripada jangkaan dalam penentuan RP4 akan datang adalah risiko penurunan penarafan penilaian.
“Saham itu kini didagangkan pada 16 kali nisbah harga-pendapatan hadapan untuk FY25, menghampiri satu sisihan piawai di atas min sejarah sebanyak 13.9 kali mencerminkan jangkaan pendapatan masa hadapan yang tinggi.
"Unjuran kami sudah pun mengambil langkah peningkatan dalam pertumbuhan asas aset terkawal kepada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 7.7% dalam RP4 (berbanding 4.2% dalam RP3) untuk mencerminkan perbelanjaan modal yang dipercepatkan pada peralihan tenaga," katanya. - DagangNews.com



