SUNGAI PETANI - Kejadian isteri dipukul, ditumbuk, ditendang, dipijak dan dilibas menggunakan paip getah sama sekali tidak boleh diterima akal manusia.
Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Jati Waja Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, tindakan berkenaan disifatkan melampau.
Beliau dalam masa sama menggesa agar pelaku segera ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan ke atas isterinya.
"Dia pukul bini dia lagi sekali dan hari ni isteri dia tu ada di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani sedang trauma yang sangat teruk. Kerana apa? Kerana dipukul dengan paip getah, batang besi, batang kayu, ditendang, di mana bayi yang dalam perut kandungan 12 minggu keguguran.
"Saya dapat tahu trauma yang sangat teruk dan dia ditempatkan berasinganlah. Jadi hari ni kejadian ni berulang, orang yang sama, mangsa berbeza. Mangsa dipukul, ditendang, dipijak dan kecederaan serius ni patah tujuh tulang rusuk kanan, patah enam tulang rusuk kiri, patah tulang belakang dan punggung, keguguran kandungan, suspek juga turut mengugut nyawa mangsa. Ni level keganasan sangat serius," dakwanya.
Shahanim ditemui media ketika hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Isnin.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Umno Sungai Petani turut menawarkan khidmat guaman percuma untuk membela mangsa.
"Ini kes serius, tahap keganasan, saya mewakili wanita seluruh Malaysia berharap agar pelaku dikenakan hukuman setimpal memandangkan pernah terlibat dalam kes lebih teruk sebelum ini di Johor Bahru," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita mengalami kecederaan parah akibat dipukul suami dalam kejadian di Ambangan Heights di sini.
Semakan polis mendapati, suspek dalam kes terbabit dikesan pernah disabitkan kesalahan menyebabkan wanita lain yang juga isterinya koma akibat dipukul lelaki sama dalam kejadian 2021.





